Siakap Keli

RM14.5 Juta Dimasukkan Dalam Akaun Peribadi Najib – Pengurus Cawangan Ambank

Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat transaksi kemasukan wang berjumlah RM14.5 juta ke akaun AmPrivate Banking-Y1MY milik bekas perdana menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak antara Julai 2014 dan 11 Feb 2015.

Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan, R. Uma Devi, 40, ketika membacakan penyataan saksinya berkata wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun AmBank (AmPrivate Banking-Y1MY) bernombor 211-202-2011898 milik Najib.

“Saya mengesahkan sejumlah RM10 juta dimasukkan ke dalam akaun itu pada 8 Julai 2014, RM1 juta dimasukkan pada 23 Julai 2014 dan RM3.5 juta dimasukkan pada 11 Feb 2015,” katanya ketika diminta membuat pengesahan ke atas Penyata Akaun Ambank itu yang dirujuk oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim.

Semalam Uma Devi mendedahkan sebanyak  RM64 juta dimasukkan ke dalam akaun AmPrivate Banking-1MY milik Najib bernombor 211-202-201188-0 antara  8 Julai 2014 dan 10 Feb 2015.

Uma Devi, yang berkhidmat dengan Ambank sejak 5 Mac 2012, turut mengesahkan borang pembukaan akaun bagi akaun berkenaan atas nama Datuk Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak yang dibuka pada 31 Julai 2013 dan nama pemilik akaun diletak sebagai AmPrivate Banking-Y1MY sebagai nama utama dan diikuti oleh nama Datuk Seri Mohd Najib Bin Hj Abd Razak.

Saksi ke-21 pendakwaan itu yang menyambung keterangannya hari ini terdapat juga surat arahan oleh Nik Faisal Ariff Kamil bertarikh 23 Jun 2014 bertajuk ‘Transfer Instruction’ dan mengesahkan bahawa itu adalah surat arahan kepada AmBank untuk memindahkan RM3 juta daripada akaun AmBank bernombor 211-202-201188-0 (Akaun AmPrivate Banking-Y1MY) milik Najib. – Bernama

Nur Farra