Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Dua Pelajar Lelaki Dikhuatiri Lemas Ketika Mandi Sungai Di Simpang Renggam

Johor Bahru : Dua pelajar lelaki Sekolah Tahfiz Assidiq Gufran dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hanyut dibawa arus ketika sedang bermandi manda bersama rakan mereka di Sungai Kampung Haji Sahari, Simpang Renggam, dekat Kluang, petang ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata Mohd Ammar Mazeni, 13, dan Mohd Danish Mirzan Muhammad Said, 16, dikatakan sedang mandi bersama enam lagi rakan semasa kejadian, apabila tiba-tiba arus sungai yang deras menghanyutkan kedua-dua mereka, manakala yang lain terselamat.

“Keadaan cuaca semasa mereka mandi adalah hujan lebat dan setakat ini, pencarian kedua-dua mereka masih diteruskan, melibatkan pelbagai pihak termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Sukarelawan (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan orang kampung,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Renggam, Penolong Penguasa Bomba Asyraf Nur Mohd Yusoff yang turut dihubungi berkata keadaan arus semasa kejadian adalah deras disebabkan baru sahaja hujan.

Katanya lima anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk operasi mencari dan menyelamat selepas menerima panggilan kecemasan pada kira-kira pukul 6.16 petang..

“Bomba sehingga kini masih membuat operasi secara ‘open searching’ di sekitar kawasan kali terakhir pelajar itu dipercayai lemas,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.