Siakap Keli

Lebih 5,000 Kes Keganasan Rumah Tangga Dilaporkan Di Seluruh Negara

Sebanyak 5,421 kes keganasan rumah tangga dilaporkan di seluruh negara tahun lepas, dengan 3,947 daripadanya melibatkan kaum wanita sebagai mangsa.

Pemangku Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata angka berkenaan menunjukkan penurunan berbanding 2017 yang mencatatkan 5,513 kes yang mana 4,025 mangsanya adalah wanita.

Katanya beliau percaya penurunan itu berpunca daripada peningkatan tahap kesedaran dalam kalangan orang ramai.

“Namun, kita juga harus mengambil kira kemungkinan bahawa terdapat kes yang tidak dilaporkan atas beberapa faktor seperti malu, halangan dan kurangnya pengetahuan tentang hak mereka. Bagi memastikan isu keganasan ini ditangani dan mangsa mendapat pembelaan, peranan ahli masyarakat sebagai penyalur maklumat kepada pihak berkuasa amatlah dialu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis perasmian seminar ‘Hentikan keganasan terhadap kanak-kanak’ dan pelancaran buku pencegahan jenayah di sini hari ini.

“Bagi kes penderaan kanak-kanak, 456 kes penderaan fizikal kanak-kanak dilapor di seluruh negara sepanjang tahun lepas berbanding 429 kes pada tahun sebelumnya,”katanya.

Beliau berkata Kuala Lumpur juga merupakan negeri kedua tertinggi dalam kes penderaan kanak-kanak dengan 62 kes dilaporkan tahun lepas, berbanding kedudukan ketiga dalam senarai tahun 2017 dengan 56 kes.

Terdahulu, Abdul Hamid melancarkan tiga buah buku iaitu 150 Tips Menangani Jenayah, Women’s Personal Safety dan Buku Latihan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.