Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan - Google

Mayat Seorang Daripada Dua Pelajar Dikhuatiri Lemas Di Sungai Dekat Simpang Renggam Ditemui

Johor Bahru : Mayat seorang daripada dua pelajar tahfiz yang dikhuatiri lemas ketika mandi di Sungai Kampung Shaari, Simpang Renggam dekat Kluang, petang semalam, ditemui hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang ACP Mohd Abduh Ismail berkata mayat Mohd Ammar Mazeni, 13, ditemui kira-kira 5.20 pagi tadi kira-kira dua kilometer dari tempat dia dilaporkan mandi dan hanyut.

“Pasukan bomba bersama pihak keluarga dan penduduk setempat berjaya menemukan satu mayat pelajar tersangkut di rumput (Mohd Ammar) di dalam sungai Kampung Chokro, Simpang Renggam, kira-kira dua kilometer dari tempat pelajar tersebut mandi dan hanyut.

“Mayat berkenaan kemudian dikenal pasti oleh bapa Mohd Ammar, Mazeni Kasman,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Abduh berkata Mohd Ammar yang berasal dari Kampung Isnin Maarof, Simpang Renggam disahkan telah meninggal dunia ketika ditemui dan mayatnya dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, Kluang untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, terdahulu, usaha mengesan Mohd Ammar dan seorang lagi rakannya yang masih hilang, Mohd Danish Mirzan Muhammad Said, 16, giat dilakukan sejak 6 petang semalam oleh polis, bomba, Jabatan Pertahanan Awam, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), sukarelawan serta penduduk setempat.

Katanya pasukan penyelamat telah berusaha mencari mereka dengan menyusuri sungai berulang kali bermula dari tempat kedua-dua pelajar itu mandi hingga ke pintu air Ulu Sungai Benut.

Pihak bomba turut mendirikan khemah di kawasan berhampiran jambatan pintu air Ulu Sungai Benut.

“Pada 11.30 malam tadi juga, pihak SAJ Ranhill telah membuka tiga pintu air menyebabkan air sungai di kawasan hulu surut sebagai langkah membantu di dalam usaha pencarian,” katanya dengan menambah usaha kini sedang diteruskan bagi mencari Mohd Danish Mirzan.

Semalam, Mohd Ammar dan Mohd Danish Mirzan dari Sekolah Tahfiz Assidiq Gufran, Simpang Renggam, dikatakan mandi bersama enam lagi rakan mereka, apabila kedua-duanya dihanyutkan arus deras. Rakan-rakan yang lain bagaimanapun selamat.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.