“Mujurlah Ada Teman, Tidaklah Dia Kesunyian,” Tak Upaya Nak’Join’ Kawan Lain Sukaneka, Gelagat Dua Orang Murid Buat Ustazah Sebak

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Setiap daripada kita pasti memiliki sahabat yang ada disisi walau dalam suka mahupun duka.

Selain keluarga, sahabatlah yang menjadi peneman setia dan menerima kita apa adanya tanpa mengharapkan apa-apa balasan.

Perkongsian guru ini menyentuh hati sesiapa sahaja yang membacanya.  Gambar keakraban hubungan dua orang anak muridnya itu menceritakan segala-galanya.

Sayup-sayup di hujung padang kelihatan seorang anak murid saya yang berkerusi roda disorong ke padang oleh seorang rakannya yang selalu setia bersamanya.

Ceria sungguh wajahnya apabila disorong ke padang. Matanya seakan bercahaya. Seronok! Maklumlah, dari tadi dia hanya memerhati dari luar padang sahaja.

Di padang, suara keriuhan murid-murid lain menyertai acara sukantara amat mengujakan sesiapa sahaja sebenarnya untuk bersama. Murid seusianya pasti tidak sabar-sabar untuk ke padang. Namun, apakan daya dengan kekurangan yang ada pada dirinya menyebabkan dia akur. Pasrah!

Rakan-rakan seusia dengannya dapat berlari, melompat dan berkejaran di padang, dia sekadar melemparkan senyuman tawar. Saya yang mengamati dirinya dari tadi, sesekali melihatnya ketawa melihat gelagat rakan-rakannya di padang.

Begitulah tafsiran kegembiraan bagi setiap insan itu berbeza. Bagi murid ini, dapat melihat kegembiraan orang lain pun sudah amat menggembirakan hatinya. Syahdu rasanya melihat situasi itu. Ustazah doakan dirinya akan diberikan kegembiraan selalu.

Dan, mujurlah ada teman yang sentiasa setia bersama. Tidaklah dia kesunyian. Untunglah dirinya apabila dikurniakan rakan yang baik dan setia.

Saya bertugas sebagai hakim acara lompat tinggi. Saat mereka melewati kawasan acara ini, saya melambai mereka.

“Mai, sat. Ustazah nak ambil gambar ni.”

Mereka pun menghampiri.

“Senyummm…”

Lalu tersenyum simpullah kedua-duanya. Gembira apabila dia juga dapat bergambar di padang biarpun tidak berupaya menyertai sukantara itu.

Setelah itu, rakannya memakir kerusi roda itu berhadapan dengan lokasi acara lompat tinggi. Tanpa berfikir panjang, bersilalah rakannya itu di sebelah kerusi roda itu. Sedikit pun tidak terniat di hatinya untuk meninggalkan rakannya itu terkontang-kanting di padang. Dia betul-betul ikhlas dan setia. Kasihnya kepada sahabatnya itu, tiada sempadan.

Masya Allah.

Ustazah pula yang sebak.

Semoga persahabat kalian terus terjalin erat. Ingatlah, bukan semua orang mampu setia bersahabat. Tetapi persahabatan kalian mampu menjadi contoh teladan kepada yang lain.

Beruntunglah kamu!
Semoga kekal bersahabat hingga ke Syurga.

#ustazahsekolahrendah

Sumber: Mawaddah MN

Nur Farra

Editor: Nur Farra

Dari Wiser.my