Siakap Keli

Pendakwah Bebas ‘Protege’ Dr. Zakir Naik Ditahan Atas Tuduhan Menghasut

Seorang pendakwah bebas yang juga pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) berpengkalan di Perlis yang didakwa menyebabkan suasana tidak harmoni berkaitan agama, ditahan oleh polis awal pagi ini.

Ketua Polis Perlis Datuk Noor Mushar Mohamad berkata pendakwah lelaki berumur 34 tahun itu didakwa memuat naik kenyataan dalam akaun Facebooknya menghina agama lain, yang dibimbangi menyebabkan ketegangan antara kaum, ditahan di sebuah restoran di Arau kira-kira pukul 2.30 pagi ini.

Tangkapan itu dibuat mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Tangkapan itu adalah susulan aduan yang dibuat sebuah NGO di Balai Polis Jalan Tun Razak, di ibu negara, semalam,” kata Noor Mushar kepada Bernama semasa dihubungi, hari ini.

Pendakwah itu baharu sahaja selesai menghadiri program debat atau diskusi agama, anjuran NGO beliau di sebuah universiti awam di Perlis, dan siasatan terhadapnya akan dibuat polis Bukit Aman.

Pendakwah itu juga adalah ‘protege’ kepada pendakwah dari India, Dr Zakir Naik, kata Noor Mushar.

— BERNAMA

Nur Farra