Gambar : BERNAMA

Lahir Di Malaysia Tidak Membolehkan Individu Peroleh Taraf Warganegara Automatik – Muhyiddin

Kelahiran di Malaysia tidak membolehkan seseorang individu memperoleh kewarganegaraan Malaysia secara automatik, kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut beliau, penyelesaian isu kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri di negeri Sabah perlu memenuhi syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Ia selaras peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964, taraf kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan taraf kewarganegaraan ibu bapa kandung dan status perkahwinan yang sah mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa sewaktu kelahiran berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Perbahasan Titah Diraja pada persidangan Dewan Negara bagi kementeriannya di sini hari ini.

Muhyiddin berkata berhubung tindakan kementerian ke atas dakwaan terdapat 500,000 orang penduduk di negeri Sabah yang tidak memiliki kewarganegaraan, kerajaan telah menggiatkan tindakan penguatkuasaan serta pengusiran ke atas pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Jelasnya seramai 581,085 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah telah diusir dari negara ini yang dilaksanakan bermula dari tahun 1990 sehingga 18 April lepas.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata mengenai permohonan kewarganegaraan suami warganegara asing kepada isteri warganegara Malaysia, setiap permohonan yang diterima oleh kementeriannya akan diproses dengan teliti.

Katanya, proses itu untuk memastikan setiap permohonan memenuhi syarat dan peruntukan yang ditetapkan dalam Bahagian III, Perlembagaan Persekutuan, Citizenship Rules 1964 dan perundangan yang berkuat kuasa.

Beliau berkata permohonan kewarganegaraan oleh suami bertaraf bukan warganegara kepada isteri bertaraf warganegara Malaysia adalah melalui naturalisasi di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan.

“Dalam hal ini, pertimbangan permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan adalah berdasarkan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

“SOP itu diperincikan daripada peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Citizenship Rules 1964 iaitu memenuhi tempoh kemastautinan yang dikira daripada pegangan kad pengenalan Pemastautin Tetap (MyPR) selama 12 tahun,” katanya.

Mengenai penganugerahan kewarganegaraan kepada pemegang MyPR yang berumur 60 tahun dan ke atas, Muhyiddin berkata kementerian sedang melaksanakan tindakan segera terhadap semua permohonan kewarganegaraan tanpa mengira kaum secara berperingkat dan akan diproses dengan teliti.

Kementerian juga, jelasnya tidak bercadang untuk memperkenalkan kad pengenalan baharu bagi kanak-kanak yang lahir di Malaysia hasil daripada perkahwinan campur.

Mengulas mengenai tindakan terhadap penularan kes-kes penghinaan kepada Institusi Beraja dan Agama Islam di media sosial, katanya Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat 98 kes dan daripada jumlah tersebut, sembilan individu telah dituduh di mahkamah sejak 2012 hingga 20 April lepas.

“Bagi penghinaan terhadap Agama Islam dan Nabi Muhammad dalam tempoh yang sama, sebanyak 76 kes telah disiasat dan daripada jumlah itu 12 individu telah dituduh di Mahkamah,” katanya

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.

Editor: Fildza Zainal

Dari Wiser.my