Siakap Keli

Lelaki Kongsi Detik Lucu Dikenakan Caj Pakir Lebih RM 9,000 Tak Sampai Sejam Tinggalkan Kenderaan Ketika Hantar Barang

Seorang pemandu syarikat penghantara terkejut apabila diminta membayar caj pakir $3,158 (RM 9,588) ketika mahu keluar daripada Lapangan Terbang Jewel Changi, di Singapura, minggu lepas.

Menurut kenyataan daripada Lapangan Terbang, caj tersebut dikenakan disebabkan sistem tidak merekod kenderaan tersebut mendaftar keluar sebelum ini.

Insiden berkenaan menjadi tular di media sosial selepas pemandu berkenaan, Supra Mac telah memuat naik gambar meter pakir yang tertera jumlah perlu dibayarnya jika mahu keluar.

Dalam kejadian yang berlaku pada Rabu lepas, Supra memberitahu dia hanya berada di lapangan terbang berkenaan untuk tempoh 45 minit sahaja.

”Kami mengesahkan bahawa jumlah yang tertera adalah kerana sistem mengira caj bermula daripada 10 April lepas ketika kenderaan ini memasuki ruang pakir untuk menghantar barang.

”Namun sistem tidak merekod kenderaan ini keluar pada hari tersebut sebaliknya mengira caj sehingga 24 April ketika penghantaran barang kali kedua,” kata jurucakap lapangan terbang.

Jurucakap itu juga meminta semua pengguna pakir memastikan jarak selamat dengan kenderaan dihadapan bagi memastikan sistem dapat merekodkan proses masuk dan keluar dengan sempurna.

Menurut Supra, dia tidak berhadapan dengan masalah ketika keluar daripada pakir pada 10 April dan tidak mengikuti terlalu rapat mana-mana kenderaan.

Katanya lagi, kenderaannya tidak dapat keluar daripada pakir pada Rabu apabila mesin menunjukkan baki tidak mencukupi dalam CashCard.

”Saya baru sahaja menambah nilai CashCard pada waktu pagi dan terkejut serta merasa lucu apabila melihat caj yang dikenakan,” katanya yang dibenarkan keluar tanpa caj selepas membuat aduan mengenai perkara berkenaan kepada staf berkenaan.

”Saya rasa tiada sesiapa pun yang bersalah dan ianya adalah masalah sistem, mereka menyelesaikannya dengan baik,” katanya.

Sumber: Straits Times Singapore

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.