Siakap Keli
Gambar : Google

1 Mei Bukan ‘Cuti Umum’ Buat Menteri Malaysia

Singapura : Tarikh 1 Mei adalah Hari Pekerja yang disambut di seluruh dunia bagi menghargai golongan pekerja dan buruh, malah ia merupakan hari cuti umum di kebanyakan negara termasuk Malaysia.

Bagaimanapun, tiada istilah ‘hari berehat’ atau cuti umum bagi menteri-menteri Kabinet Malaysia esok kerana Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberi tugas kepada mereka untuk menyiapkan kertas kerja mengenai isu yang berkaitan dengan kementerian masing-masing.

Setiap menteri akan bergilir-gilir membentangkannya kepada Dr Mahathir bermula 2 petang esok.

Perkara itu dikongsikan oleh Menteri Sumber Manusia M. Kula Segaran semasa sesi bertemu diaspora Malaysia di sini malam tadi.

Anggota Parlimen Ipoh Barat itu sendiri harus menangguhkan rancangannya untuk meraikan ‘cuti rehat’ dengan isterinya yang akan datang ke Kuala Lumpur (dari Ipoh).

“Saya juga teruja (untuk menyambut Hari Pekerja). Isteri saya akan datang ke Kuala Lumpur. Selepas itu kami (merancang) untuk pulang ke Ipoh. Kami akan menghabiskan satu atau dua hari di sana dan saya akan kembali ke Kuala Lumpur.

“Beliau (Dr Mahathir) memutuskan (perkara itu) Rabu lepas. Anda semua menghadiri perhimpunan (Hari Pekerja) dan sebagainya…selesai…berehat dua jam (kemudian) anda semua (menteri) datang ke pejabat perdana menteri,” katanya.

Untuk kementeriannya, Kula Segaran, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Khas Menteri-menteri Tenaga Kerja ASEAN dan Persidangan Singapura mengenai Masa Depan Kerja, akan menyediakan kertas berkenaan ‘penciptaan pekerjaan’.

“Kami (menteri Kabinet) ingin mengatakan bahawa kami tidak setuju (membentangkan kertas kerja pada Hari Pekerja) tetapi pada usianya, beliau ingin sekali menyelesaikan sesuatu perkara. Kami hanya memandang antara satu sama lain dan berkata kepada Tuhan…apa yang sedang berlaku,” katanya bergurau.

Bagaimanapun dalam nada serius, Kula Segaran menyifatkan Dr Mahathir sebagai ‘satu daripada kuasa pendorong’.

“Saya beritahu pegawai saya…pada pandangan saya beliau bekerja seperti tiga menteri sekali gus. Ada kalanya kita sering tertanya-tanya, saya rasa beliau menipu umurnya. Saya fikir beliau baru berusia 60 tahun, sangat rajin, saya tidak percaya ada orang seperti beliau,” katanya.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.