Siakap Keli
Gambar Hiasan (BERNAMA)

Berlatih Di Ladang Sawit, Pelajar Luar Bandar Cipta Rekod MSSM

Berlatih di dalam kawasan ladang sawit bukanlah penghalang kepada Alya Amira Hanis Hamrin, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bombalai dekat sini, memenangi pingat emas acara 80 meter lari berpagar 12 tahun, pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) baru-baru ini.

Malah, bagi Alya, 12, yang turut mencipta rekod baharu dengan catatan 12.6 saat berkata, kejayaan beliau itu membuktikan pelajar luar bandar juga mampu mencipta kejayaan asalkan, mereka tidak mudah mengalah.

“Alhamdulillah latihan saya yang mengambil masa 30 jam dalam seminggu dengan guru pembimbing, Karim Batjo, menghasilkan kejayaan ini.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya, yang tidak pernah lelah membantu saya menjadi atlet yang cemerlang,” katanya pelajar tahun enam yang menjadikan jaguh pecut dari Jamaica, Shelly-Ann Fraser-Pryce sebagai idolanya.

Mengenai perancangan seterusnya, Alya berkata beliau mahu menyambung pelajaran tingkatan satunya, di Sekolah Sukan Bukit Jalil selepas menerima tawaran untuk memasuki sekolah tersebut.

“Terdapat dua sekolah lain, turut menawarkan iaitu Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS) dan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT),” katanya.

Semalam, atlet cilik ini menerima penghargaan daripada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam Karnival Sukan Luar Bandar, di Padang Ladang Mostyn, di Kunak.

Antara pencapaian Alya sebelum ini ialah Naib Juara dalam acara 80 meter dan juara 4×100 meter lari berpagar, dalam Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Sabah.

Sementara itu, Guru SK Bombalai, Karim berkata resepi kejayaan melahirkan atlet cemerlang seperti Alya adalah jurulatih, serta pelajarnya perlu disiplin, komitmen dan tidak berkira.

Katanya, atlet di kawasan luar bandar juga mampu bersaing dengan atlet di bandar meskipun kemudahan di kawasan luar bandar tidak lengkap.

“Saya berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat membantu SK Bombalai dari segi kemudahan latihan kerana kemudahan di sekolah ini sangat kurang,” katanya yang telah mengajar di sekolah berkenaan selama 14 tahun.

Menurut Karim, Alya merupakan atlet kelima sekolah itu yang memenangi acara sama bagi lima tahun berturut-turut pada Kejohanan Olahraga MSSM.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.