Siakap Keli
Gambar : Wikipedia

Hasrat Bawa Keluarga Umrah Tidak Kesampaian Angkara Ditipu Syarikat Pengurusan

Kuantan : Hasrat seorang pesara untuk mengerjakan umrah bersama tiga anggota keluarganya tidak kesampaian apabila ditipu oleh syarikat pengurusan umrah yang diketahuinya menerusi aplikasi WhatsApp.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Supt Mohd Wazir Mohd Yusuf berkata mangsa yang berusia 63 tahun juga mendakwa kerugian RM25,600 yang telah dijelaskan kepada wakil syarikat berkenaan.

“Mangsa mendakwa telah mengikuti kursus bimbingan umrah sebanyak dua kali kendalian syarikat itu sebelum ditawarkan pakej bernilai RM4,900 seorang yang dijadualkan berlepas antara 20 hingga 30 April ini. 

“Mangsa bersetuju dan menyatakan hasrat mahu menyambung pakej selama sebulan kerana mahu merasai pengalaman berpuasa di Mekah dan telah membuat bayaran sebanyak lapan kali ke dalam akaun syarikat itu,” katanya kepada sumber di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata pada 25 April lepas, mangsa dimaklumkan penerbangannya untuk ke Mekah ditunda dan sehingga kini, wakil syarikat itu gagal memaklumkan tarikh baharu penerbangan.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang kontraktor berusia 42 tahun mendakwa kerugian RM3,000 apabila ditipu rakan kongsinya dalam urusan pembelian lori, sejak 4 Jan lepas.

“Mangsa mendakwa rakan kongsinya telah menjanjikan pulangan sebanyak 15 peratus kepada mangsa daripada hasil perniagaan menggunakan lori itu menyebabkan dia bersetuju membuat bayaran pada 13 Jan lepas. 

“Bagaimanapun mangsa mendakwa tidak pernah melihat lori itu mahupun dimaklumkan tentang perkembangan perniagaan dan suspek sering memberi pelbagai alasan apabila ditanya,” katanya.

Mangsa mendakwa mula berasa ditipu selepas berhubung dengan beberapa rakan lama suspek yang memberitahu mereka telah mengalami nasib yang sama dengan mangsa.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.