Siakap Keli
Gambar: MOBIEG

Kenali Kategori Yang Diklasifikasikan Sebagai Gangguan Seksual Terhadap Kanak-Kanak Wajib Diketahui Oleh Ibu bapa Di Malaysia

Kita telah dikejutkan dengan golongan pedofilia pada zaman ini yang telah semakin berani melakukan perbuatan yang tidak bermoral terhadap kanak-kanak di bawah umur. Pelbagai kes yang membabitkan golongan pedofilia ini dilihat semakin menjadi-jadi tidak kira di luar negara mahupun di dalam negara kita sendiri.

Menurut Kamus Dewan Bahasa Dan Pustaka, pedofilia ini bermaksud keinginan mengadakan hubungan seks dgn kanak-kanak. Kebanyakan kes pedofilia ini melibatkan lelaki dewasa yang mempunyai keinginan atau nafsu seks terhadap kanak-kanak dibawah umur. Menurut Persatuan Psikiatri Amerika (APA), pedofilia ini merupakan salah satu penyakit mental dan perlu dijatuhkan hukuman jenayah yang berat kepada si pelakunya.

Jadi, apa yang boleh kita ketahui tentang kategori-kategori yang boleh diklasifikasikan sebagai gangguan seksual yang dilakukan terhadap kanak-kanak daripada golongan pedofilia ini serta apa yang boleh dilakukan jika perkara sebegini berlaku kepada salah seorang ahli keluarga kita?

Ikuti tips serta penerangan yang dikongsikan oleh MyHealth berkenaan dengan perkara-perkara tersebut.

Penderaan seksual kanak-kanak adalah aktiviti seksual yang dilakukan oleh individu yang lebih dewasa dengan kanak-kanak untuk memuaskan nafsu mereka yang tidak terkawal. Sebarang bentuk perlakuan orang dewasa yang memaksa, memujuk, mengugut atau menggunakan tipu helah untuk memperdaya kanak-kanak seperti;

a) Sentuhan Fizikal

  1. Ciuman, rabaan, seks oral dan memaksa kanak-kanak menyentuh/membelai/mengusap alat sulit orang dewasa.
  2. Memasukkan alat sulit zakar/alat/jari/objek ke dalam faraj, mulut atau dubur.
Gambar: mStar

b)Perlakuan Yang Tidak Melibatkan Sentuhan

  1. Menunjukkan gambar atau video pornografi kepada kanak-kanak.
  2. Memaksa / mengeksploitasi kanak-kanak untuk mendedahkan tubuh, bercakap perkara yang berunsur lucah secara lisan atau melalui memperdaya kanak-kanak melalui internet siber / media sosial contoh wechat, whatsapp dan sebagainya.

Siapa Yang Terlibat?

  1. Mangsa: kanak-kanak perempuan atau lelaki berumur di bawah 18 tahun.
  2. Pendera/pelaku: orang dewasa 18 tahun ke atas.

Nota: Jika berlaku mangsa dan pendera / pelaku dalam kalangan ahli keluarga disebut sumbang mahram

Jika Berlaku Kepada Anda Sesiapa Yang Lain, Apa Yang Perlu Anda Buat?

  1. Beritahu kepada orang yang anda paling percayai seperti ibu, bapa, guru.
  2. Buat laporan polis.
  3. Buat Pemeriksaan kesihatan di hospital kerajaan.
Gambar: Star2.com

Siapa Yang Boleh Bantu Anda?

Di hospital-hospital kerajaan, terdapat Pegawai Kerja Sosial Perubatan (PKSP) yang boleh membantu anda dari aspek psikososial. PKSP merupakan kumpulan pengurusan dan profesional yang terlatih dalam bidang Kerja Sosial Perubatan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia. PKSP memberi khidmat kepada semua mangsa tanpa mengira umur. jantina, bangsa dan agama. PKSP mengutamakan etika dan kerahsiaan dalam membantu mangsa dan keluarga. PKSP bersama Pasukan Pencegahan Penderaan Kanak-kanak di hospital akan membantu mangsa dan keluarga.

Bagaimana PKSP Boleh Membantu Anda?

PKSP Berperanan Membantu Anda:

  1. Memberi sokongan emosi kepada mangsa dan keluarga.
  2. Membimbing mangsa dan keluarga apa yang boleh dan perlu dibuat apabila berhadapan dengan situasi semasa.
  3. Memberi maklumat dari aspek perundangan seperti Akta Kanak-kanak 2001.
  4. Memberi maklumat tentang agensi pemberi bantuan badan kerajaan dan bukan kerajaan yang ada dalam komuniti yang boleh membantu mangsa dan keluarga.
  5. Memberi bantuan segera seperti kewangan, makanan dan pakaian sekiranya perlu.
  6. Membantu pesakit menguruskan permohonan bantuan kewangan bulanan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Zakat dan lain-lain agensi.
  7. Membantu mendapatkan tempat perlindungan melalui agensi kerajaan dan bukan kerajaan.
  8. Menguruskan bantuan peralatan perubatan dan ubat-ubatan yang diperlukan semasa dalam proses rawatan dan pemulihan.
  9. Bekerjasama dengan agensi-agensi lain yang berkaitan seperti polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sekolah bagi membantu mangsa dan keluarga.

 

Sumber: MyHealth

Aqmal Ezany

I write what is right