Siakap Keli

Main ‘Game’ Seawal 4 Pagi, Lelaki Ditemui Mati Akibat Serangan Jantung Di Kafe Siber

Seorang lelaki meninggal dunia selepas jasadnya ditemui tidak sedarkan diri di atas papan kekuci di sebuah pusat siber di Thailand.

Natsupon Arunrat, 32, dipercayai singgah di kafe siber berkenaan seawal jam 4 pagi dan kematiannya hanya disedari di sebelah petang dalam kejadian yang berlaku Sabtu lepas.

Menurut pemilik kafe tersebut, kedainya sering dikunjungi oleh penganggur-penganggur yang menghabiskan masa sehari suntuk untuk bermain permainan komputer.

Menurutnya, dia menyedari mangsa tidak bangun dari kerusi seperti biasa untuk merehatkan diri.

Apabila nama mangsa dipanggil, pemilik kafe memberitahu tiada sahutan yang diterima membuatkannya berfikir mangsa mungkin memberi fokus kepada permainan.

Lebih malang, para pengunjung kafe siber yang lain turut tidak menyedari mangsa tidak sedarkan diri disebabkan masing-masing turut memberi fokus kepada skrin komputer.

Selepas kira-kira empat jam kemudian, pemilik kafe menyedari mangsa bersandar pada kerusi dan tiada pergerakkan pada bahagian perut.

Natsupon sudahpun meninggal dunia ketika pasukan kecemasan tiba untuk memberi rawatan dengan kesan darah pada bahagian mulut akibat menggigit lidah.

Ibu mangsa kemudian dimaklumkan dengan insiden berkenaan dan pemilik kafe turut membuat laporan polis.

Menurut ibu mangsa, Natsupon tidak bekerja kerana mempunyai pelbagai masalah kesihatan dan gemar menghabiskan masa bermaian permainan komputer bagi menghilangkan bosan.

”Dia menderita penyakit jantung dan tekanan darah tinggi sejak sekian lama. Permainan komputer adalah satu-satunya cara untuk dia berhibur jadi saya tidak menghalangnya berbuat demikian.

”Saya tahu dia ketagih dengan permainan komputer tetapi saya tidak menyangka ia boleh membunuhnya,” kata ibunya.

Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk tujuan bedah siasat.

Sumber: Dailymail

 

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.