Siakap Keli
Gambar : Google

Malaysia Contoh Terbaik Bagaimana Negara Boleh Maju Jika Ditadbir Dengan Betul – Duta Poland

Kuala Lumpur : Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana sesebuah negara boleh maju jika ia ditadbir dengan betul, kata Duta Poland ke Malaysia Krzysztof Debnicki.

Beliau berkata Malaysia, yang pernah dianggap sebagai sebuah negara miskin selepas Perang Dunia Kedua, telah membangun dengan pesat sehingga ke hari ini.

“Saya dapati anda (Malaysia) mengaku sebagai sebuah negara membangun, tetapi anda sebenarnya adalah sebuah negara maju,” kata Debnicki kepada Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama pada majlis resepsi Hari Kebangsaan Poland sempena perisytiharan Perlembagaan 3 Mei 1791 di sini baru-baru ini.

Duta itu telah dihantar bertugas di Kuala Lumpur sejak September tahun lepas.

Sebelum itu, beliau berpengalaman menyaksikan sendiri pembangunan Malaysia sebagai seorang pelancong pada 1986 dan 1991, serta menghadiri satu persidangan di Kuala Lumpur pada 2008.

“Saya tidak begitu mengenali negara ini sekarang, ia sudah banyak mengecapi kemajuan. Malaysia adalah contoh terbaik bagaimana sesebuah negara boleh maju jika ia ditadbir dengan betul. Kini ia adalah antara negara paling membangun,” katanya.

Kuala Lumpur dan Warsaw mewujudkan hubungan diplomatik pada 1971.

Debnicki berkata kedua-dua negara memiliki potensi yang besar untuk meningkatkan hubungan dua hala terutama dalam bidang perdagangan, pelaburan dan perniagaan.

Beliau berkata susulan perkembangan ekonomi Poland, para pelabur negara itu kini mengintai peluang di luar pesisir tradisional Eropah untuk meluaskan perniagaan mereka dan meneroka pasaran baharu.

“Syarikat-syarikat baharu Poland kini mencari tapak baharu (untuk mengembangkan perniagaan mereka) dan Malaysia menjadi tumpuan.

“Ketika ini, terdapat 15 syarikat Poland yang beroperasi di Malaysia. Meskipun tidak banyak namun jumlahnya kian meningkat,” katanya sambil menambah kedutaan negara itu sedia membantu firma Poland yang berminat untuk memulakan perniagaan mereka di Malaysia.

Beliau juga berkata firma-firma Malaysia digalakkan melabur di Poland kerana republik itu adalah antara ekonomi yang paling pesat berkembang dalam Kesatuan Eropah (EU) dan merupakan gerbang strategik untuk kebanyakan perniagaan yang berhasrat menceburi pasaran EU yang luas.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.