Siakap Keli

Pertembungan Dua Gergasi Barcelona Dan Liverpool Di UCL, Ini 5 Perkara Peminat Bola Sepak Perlu Tahu

Pertembungan epik dua gergasi dalam liga masing-masing, Bercelona dan Liverpool dalam Separuh Akhir Pertama Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi Khamis ini menjadi perhatian semua peminat bola sepak.

Tidak kira peminat setia kelab atau penyokong pasukan rival, semua ternanti-nanti detik perhitungan di Stadium Nou Camp itu.

Buat peminat bola sepak, ini lima perkara perlu anda tahu mengenai pertembungan Juara La Liga 18/19, Barcelona dengan Liverpool nanti.

Pasukan Inggeris sentiasa ‘tenggelam’ di Nou Camp

Nou Camp adalah antara simbol keagungan bola sepak Eropah. Di situ, kelab Bercelona berdekad lamanya mempamerkan permainan bola sepak yang memukau mata seluruh peminat bola sepak dunia.

Pada masa yang sama juga, Nou Camp ibarat ‘neraka’ buat pasukan-pasukan dari Liga Perdana Inggeris (EPL).  Daripada 41 perlawanan antara Bercelona dengan kelab-kelab EPL, hanya dua kali Bercelona dimalukan di laman sendiri. Mujurlah, kedua-duanya adalah hasil kerja keras satu-satunya kelab, iaitu Liverpool.

Kali pertama pada tahun 1976 manakala yang terbaru adalah kemenangan 2-1 dalam pusingan 16 UCL 2007. Fakta ini mungkin boleh memberikan sedikit kelegaan kepada peminat-peminat Liverpool.

Penguasaan dominan Barca dalam La Liga dan Liverpool di EPL

Pertembungan kali ini menampilkan dua kelab paling dominan dalam dua liga utama di Eropah. Barcelona mungkin mempunyai sedikit kelebihan kerana baru sahaja dinobatkan sebagai Juara La Liga.

Namun tidak boleh memandang mudah ancaman Liverpool yang ketika ini sedang bersaing rapat sehingga hujung musim bersama-sama Manchester City untuk menjulang trofi kejuaran EPL.

Barcelona menyimpan Messi ketika pertembungan dengan Levante manakala Liverpool merehatkan Firmino ketika turun menentang Huddersfield. Kedua-duanya antara tonggak utama yang bakal membantu kelab masing-masing mencalar ego lawan.

Permainan cantik lawan permainan menekan

Barcelona terkenal dengan corak permainan cantik dan hantaran 1 2, manakala Liverpool sejak dipimpin Jurgen Klopp mengamalkan corak permainan menekan dan serangan pantas (counterpressing).

Di sini, para peminat bola sepak bakal melihat bagaimana Messi mencuba untuk melepasi tekanan yang diberikan oleh pemain-pemain Liverpool dan lebih menarik untuk melihatnya melepasi benteng pertahanan yang dikawal oleh Virgil Van Dijk yang baru sahaja menerima anugerah Pemain Tahunan PFA.

Jika Barcelona dengan permainan kreatif berjaya mengatasi tekanan memenatkan daripada Liverpool, mungkin kemenangan milik skuad daripada Sepanyol itu. Jika sebaliknya, Liverpool mungkin sekali lagi boleh mencipta rekod sebagai satu-satunya kelab yang berjaya memenangi perlawanan di Nou Camp.

Bekas pemain terbaik mungkin menjadi punca Liverpool tumbang

Dua bekas pemain terbaik Liverpool, Luis Suarez dan Philippe Coutinho kini ‘merumput’ bersama-sama Barcelona.

Kedua-dua permain ini ketika berkelana ke Anfield menjadi pemain kesayangan kelab dan telah beberapa kali aksi mantap masing-masing hampir menghadiahkan trofi buat Liverpool.

Walaupun Coutinho tidak mempamerkan aksi hebat seperti mana di Liverpool, namun tiada sesiapa pun yang dapat menafikan kualiti yang dimilikinya. Manakala Suarez terus menjadi mesin gol untuk kedua-dua kelab sama ada ketika di Liverpool ataupun waktu ini di Barcelona.

Mungkinkah ‘dua budak’ kesayangan peminat Liverpool suatu ketika dahulu menjadi ‘nakal’ di atas padang dan merobek gawang The Reds? Siapa tahu.

Trio serangan Liverpool berdepan benteng pertahanan Barcelona yang rapuh

Di atas kertas, Barcelona adalah pasukan pilihan, tetapi itu tidak bermakna mereka boleh memandang rendah keupayaan Liverpool.

Secara keseluruhan, Liverpool dengan trio serangan Salah, Mane dan Firmino serta aksi memukau dua orang bek pertahanan Trent Alexander dan Robertson sepanjang musim telahpun merekodkan 84 jaringan gol.

Manakala di satu pihak, benteng pertahanan Barcelona tidak sekebal mana apabila sudah dibolosi sebanyak 32 gol liga.

Jadi, siapa pilihan anda untuk menang pada Khamis ini?

Sumber: Forbes

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.