Siakap Keli
Gambar sekadar hiasan

Polis Tahan Enam Individu Termasuk Dua Penjawat Awam Disyaki Jual Sijil Cuti Sakit Palsu

Kuala Lumpur : Polis menahan enam individu termasuk dua penjawat awam disyaki terlibat dalam penjualan sijil cuti sakit palsu dalam beberapa serbuan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.

Mereka yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita berumur 27 hingga 42 tahun ditahan sepasukan polis dari Bahagian Risikan/ Operasi, Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu pejabat Polis Daerah Sentul pada 22 hingga 27 April lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya juga membuat pemeriksaan ke atas tiga rumah yang didiami kesemua suspek di Pandan Indah, Ampang, Cheras, Kuala Lumpur termasuk sebuah syarikat percetakan di Seri Kembangan, Selangor.

“Dalam serbuan itu, sebanyak 4,631 keping sijil cuti sakit klinik dan hospital kerajaan, 257 buku sijil cuti sakit bersama buku resit rasmi klinik swasta dan 216 pelbagai jenis cop doktor klinik swasta dan kerajaan dirampas.

“Polis turut merampas lima telefon bimbit, satu set komputer dan satu cakera keras,” katanya kepada sumber di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini.

Mazlan berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat yang diterima pada 12 April lepas daripada seorang pengadu yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Tadbir di sebuah Pejabat Kesihatan Daerah di ibu negara.

Beliau menjelaskan, pengadu mendakwa telah menerima sijil cuti sakit daripada dua kakitangannya pada 10 April lepas bertarikh 11 dan 12 Feb dari Hospital Ampang.

“Beliau turut mendakwa, sijil cuti sakit yang dikeluarkan disahkan palsu berikutan pengesahan oleh hospital terbabit kerana tiada sebarang rekod menunjukkan kakitangan berkenaan mendapatkan rawatan di sana pada tarikh tersebut,” ujarnya.

Susulan laporan itu, polis menahan dua lelaki yang juga penjawat awam sebelum menahan empat lagi individu termasuk seorang wanita.

“Tiga lelaki yang ditahan disyaki berperanan sebagai anggota kumpulan yang menjual sijil cuti sakit palsu manakala wanita itu pula bekerja di syarikat percetakan yang mencetak sijil cuti sakit palsu berkenaan,” katanya.

Mazlan berkata, dua penjawat awam itu sudah dibebaskan dengan jaminan polis pada Selasa lepas manakala empat lagi direman sehingga hari ini dan polis akan membuat permohonan untuk menyambung tempoh reman.

Sumber :Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.