Sekurang-kurangnya 21 orang pelajar disahkan maut membunuh diri semenjak pengumuman keputusan Telangana Intermediate Examination pada 18 April, lapor India Today.
Sebelum ini, Ketua Menteri Amid, K Chandrasekhar Rao secara terbuka merayu kepada para pelajar untuk tidak mengambil tindakan drastik menamatkan riwayat sendiri biarpun tidak mendapat keputusan peperiksaan yang diinginkan.
Media turut melaporkan salah seorang mangsa lelaki bertindak membunuh diri dengan bediri di landasan kereta api sebelum dilanggar manakala seorang lagi pelajar wanita pula bertindak membakar dirinya sendiri.
Menurut pihak berkuasa, kedua-dua mangsa dilaporkan tertekan selepas keputusan peperiksaan yang diraih tidak begitu cemerlang.
Kematian 21 pelajar ini menjadikan tahun ini sebagai tahun tertinggi laporan bunuh diri selepas keputusan peperiksaan negeri diumumkan dalam tempoh empat tahun.
Tahun lepas, dilaporkan seramai 6 orang pelajar membunuh diri selepas keputusan peperiksaan dikeluarkan manakala pada tahun 2015 dan 2016 tiada kes sedemikian dilaporkan.
Insiden ini menyaksikan ramai ibu bapa membuat protes dan menyalahkan sistem pemarkahan yang menyebabkan seramai 328,000 daripada 974,000 orang pelajar gagal dalam peperiksaan yang dijalankan pada Mac lepas.
Manakala satu jawatankuasa dipengerusikan oleh Ketua Menteri Amid yang ditubuhkan bagi menilai perkara ini telah mencadangkan pembaharuan kepada Setiausaha Pendidikan Negeri, B Janardhan Reddy.
Antara lain mereka menerima bahawa terdapat kegagalan sistem pengiraan pada kertas peperiksaan. Disebabkan ‘Bubbling Error pada kertas OMR’, perisian komputer gagal memberikan markah yang benar kepada jawapan yang betul.
Sumber: India Today