Siakap Keli

Tiada Kerakyatan Automatik Bagi Mereka Yang Lahir Di Malaysia -Muhyiddin Yassin

Kuala Lumpur, April 29- Individu yang dilahirkan di Malaysia tidak akan mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik, Kata Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, kanak-kanak yang tidak mempunyai dokumen pengenalan di Sabah mestilah memenuhi syarat yang telah ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ini adalah selaras dengan peruntukan-peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Kewarganegaraan 1964, dimana status kewarganegaraan seseorang individu ditentukan berdasarkan kewarganegaraan ibu bapa biologi dan status undang-undang perkahwinan, mengikut undang-undang yang ada berkuatkuasa pada masa kelahiran,” katanya.

Beliau berkata sedemikian semasa menggulung perbahasan mengenai mandat kerajaan untuk kementeriannya di Dewan Negara di sini hari ini.

Berkenaan dengan tindakan kementerian mengenai tuduhan bahawa ada 500,000 penduduk di Sabah yang tidak mempunyai kewarganegaraan, Muhyiddin berkata kerajaan telah memperhebatkan penguatkuasaan dan penghantaran balik pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah.

Beliau menjelaskan bahawa 581,085 pendatang asing tanpa izin di Sabah telah dihantar semula ke negara asal dari tahun 1990 sehingga 18 April ini.

Mengulas tindakan yang diambil terhadap mereka yang menghina institusi agama dan kerajaan Islam di media sosial, beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menyiasat 98 kes dan setakat ini sembilan individu masih berada dalam pertuduhan mahkamah dari 2012 sehingga 20 April ini.

Bagi kes yang menghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW, sebanyak 76 kes telah disiasat dan setakat ini hanya 12 individu yang masih dalam pertuduhan mahkamah,” katanya. – Bernama

Helmi

"Write every day even if it is just a paragraph"