Siakap Keli

Muda Lagi Tapi Rambut Dah Beruban, Ini 4 Sebab Uban Tumbuh Terlalu Awal

Rambut merupakan salah satu aset penggayaan yang penting buat seseorang yang mementingkan penampilan diri. Pasti ada diantara kita yang gemar memakai topi kerana malas untuk menyikat rambut. Namun ada juga generasi pada masa kini yang suka menggayakan rambut dengan pelbagai gaya yang terdapat pada zaman kini.

Rambut juga merupakan mahkota bagi setiap orang, baik lelaki mahupun perempuan. Jika sesuatu terjadi kepada rambut kita, ianya tentu akan merosakkan keseluruhan penampilan kita. Salah satunya adalah uban.

Walaupun peratusan untuk uban tumbuh banyak memihak kepada orang yang lebih berusia, ianya tidak mustahil untuk orang yang lebih muda mengalaminya.

Kebanyakan daripada kita pasti tertanya-tanya tentang apa yang menyebabkan uban boleh tumbuh walaupun usia yang sepatutnya untuk ia tumbuh belum tiba lagi. Ikuti perkongsian yang telah dikongsi oleh  helloDOKTOR untuk mengetahui tentang apakah puncanya dan faktor yang menyebabkan uban tumbuh di usia muda.

Bagaimana rambut beruban?

Rambut bertukar menjadi beruban pada satu tempoh dalam kehidupan kita. Bagi sesetengah individu, ia berlaku lebih awal. Rambut bertukar menjadi kelabu apabila sel yang berperanan untuk menghasilkan pigmen gagal berfungsi dengan baik. Bagi sesetengah yang lain pula, rambut mereka mengandungi hidrogen peroksida yang merupakan agen peluntur semula jadi. Secara umumnya, uban berlaku di pertengahan 30-an bagi orang putih manakala individu dari Asia mula mempunyai rambut beruban di lewat 30-an dan mereka yang berbangsa Afrika-Amerika tidak beruban sehinggalah mencecah usia pertengahan 40-an. Uban dikira pramatang sekiranya berlaku sewaktu berusia 20-an bagi orang putih atau bagi Afrika-Amerika sewaktu usia belum mencecah 30 tahun.

Faktor penyebab rambut beruban terlalu awal

  1. Faktor genetik

Genetik merupakan penyumbang terbesar kepada rambut beruban. Sekiranya anda mempunyai sejarah keluarga yang mengalami uban pramatang, anda juga berkemungkinan besar untuk mengalami perkara yang sama. Tambahan, genetik anda juga menentukan berapa pantas rambut anda akan menjalani proses beruban dan sama ada rambut anda bertukar menjadi warna perak atau putih.

  1. Keadaan perubatan

Uban pramatang mungkin berpunca daripada masalah kesihatan seperti anemia, vitiligo dan kekurangan vitamin B12. Orang yang mempunyai masalah pituitari dan tiroid juga lebih cenderung untuk mengalami uban pramatang.

  1. Penggunaan tembakau

Kajian menunjukkan terdapat hubungan antara uban pramatang dan merokok. Kajian pada tahun 2010 , menyatakan orang yang merokok lebih berisiko untuk beruban pada usia dua setengah kali ganda lebih awal berbanding yang tidak merokok. Memandangkan bahan kimia di dalam rokok boleh membahayakan sel rambut, merokok juga meningkatkan risiko untuk botak.

  1. Tahap tekanan

Walaupun masih tiada bukti yang mencukupi untuk mengaitkan antara tekanan dan uban pramatang, para saintis percaya bahawa hormon tekanan mempunyai kesan yang negatif kepada sel yang berfungsi menghasilkan pigmen rambut lalu menyebabkan ia beruban lebih awal. Walau bagaimanapun, tekanan sememangnya membuatkan rambut gugur. Jadi, sekiranya anda mahu rambut yang cantik, adalah baik untuk mengawal tekanan anda.

Apa yang boleh anda lakukan dengan rambut beruban?

Mahu menyembunyikan rambut beruban anda? Berikut adalah beberapa pilihan yang boleh dilakukan:

  • Pewarna separa kekal boleh bertahan untuk beberapa minggu dan merupakan pilihan yang baik bagi individu yang beruban.
  • ‘Highlights’ boleh digunakan untuk melindungi helaian rambut yang kelabu dengan rambut anda yang lain supaya tidak terlalu kelihatan.
  • Mewarnakan rambut secara kekal disyorkan sekiranya rambut anda beruban lebih dari separuh.
  • Sebahagian produk rambut menawarkan liputan yang sementara. Anda boleh menyemburkannya pada rambut dan menyembunyikan uban anda pada bila-bila masa yang anda mahu dan membasuhnya dengan syampu kemudian.

Sumber: helloDOKTOR

Aqmal Ezany

I write what is right