Siakap Keli

”Sebagai Anak Melayu Saya Berbangga”, Wings Dan Bunkface Bakal Gayakan Busana Melayu Ketika Konsert Laksamana Metal Sabtu Ini

Semalam, kami di Siakap Keli diberi peluang untuk menyertai sesi latihan pemanas suara bersama band rock lagenda tanah air, Wings dan punk rock, Bunkface di studio di Ampang menjelang Konsert Laksamana Metal Dua Generasi pada 4 Mei ini.

Dalam sesi berkenaan, kami sempat berbual dengan vokalis Wings merangkap Pengarah Konsert, Dato’ Awie dan beliau memaklumkan konsert ini adalah konsert sulung menjelang sambutan penubuhan band Wings yang ke-35 tahun pada tahun depan.

Kami juga bertanya mengenai kelainan yang ingin dibawakan disebalik penampilan band Bunkface dalam konsert sulung ini.

Siakap Keli

”Saya mahu bermula dengan satu tenaga dan pengalaman yang berbeza. Kalau kita mula dengan band yang orang sudah tahu, orang dah boleh jangka apa yang akan berlaku.

”Tapi orang tak akan jangka persembahan kali ini. Apa yang akan berlaku, apakah persembahan yang akan dibawakan oleh Bunkface dan apa yang Wings akan buat untuk tidak mengalah dari sudut energy (anggota Bunkface lebih muda), katanya.

Dato’ Awie menyifatkan persembahan ini adalah luar biasa kerana Wing dan Bunkface mempunyai pengalaman dan energy yang berbeza.

”Dua pengalaman berbeza, dua energy berbeza. Semestinya dari sudut energy, kita tak mahu kalah dari sudut energy dan mereka (Bunkface) lebih bertenaga kerana mereka lebih muda.

”Kalau dari sudut pengalaman pula pastinya mereka tidak mahu kalah dari sudut pengalaman kerana kita (Wings) lebih berpengalaman. Jadi dua-dua mahu menunjukkan bakat dan teknik persembahan tersendiri di Laksamana Metal nanti,” tambah beliau.

Siakap Keli

Kata Dato’ Awie lagi, mereka merancang untuk mempersembahkan sekurang-kurangnya 15 buah lagu bagi setiap band, bagaimanapun ia bergantung kepada tempoh masa yang diperuntukkan dan mungkin menambah lagu sekiranya mendapat permintaan daripada peminat-peminat yang datang.

Dato’ Awie juga memberi bayangan ada kejutan yang bakal diterima peminat dan mereka perlu hadir menonton konsert ini bagi mendapatkan jawapannya.

Beliau turut memberitahu disepanjang konsert ini yang berlangsung selama 2 jam 30 minit, Wings dan Bunkface masing-masing akan mengenakan busana tradisonal Melayu.

Siakap Keli

”Saya sebagai anak Melayu berbangga dapat buat ni (pakai busana Melayu) sebab yang tinggal pada kita selain musik kita tiru, pakaian pun kita tiru, jadi apa yang kita nak bawa untuk konsert akan datang ni?

”Itu yang kita pakai busana dan konsep kemelayuan dalam konsert rock,” katanya yang turut mendedahkan bahawa pentas konsert akan membawa tema yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Beliau turut berkongsi mengenai konsert-konsert seterusnya dan sudahpun mempunyai senarai band yang ingin dijemput membuat persembahan di masa akan datang.

”Cuma kita melihat, selepas ini di Pulau Pinang untuk konsertnya. Dalam senarai ini kita kena tentukan peminat-peminat di sana suka band yang macam mana.

Siakap Keli

”Jadi beri kami peluang untuk tentukan siapa seterusnya di Pulau Pinang, Batu Pahat, Jengka sebelum pulang semula ke Kuala Lumpur,” katanya yang menyimpan rahsia nama kumpulan-kumpulan dalam senarai yang disebut sebelum ini.

”Datanglah, saya rasa ini satu yang diluar jangkaan anda semua. Insha-Allah, tak janji bulan dan bintang tetapi pastinya anda balik dengan senyuman.”

Anda boleh membeli tiket Konsert Laksamana Metal Dua Generasi Wings x Bunkface 2019 disini.

BACA: Wings Dan Bunkface Berkongsi Pentas Dalam Konsert Laksamana Metal Dua Generasi Mei Ini

BACA: Konsert Laksamana Metal 2019 Wings X Bunkface – Harga Tiket & Cara Untuk Dapatkannya

Fazidi

Dulu suka menulis. Sekarang suka menaip.