Siakap Keli

Selesai Jalani Pembedahan Buang Peluru, Mangsa Serangan Christchurch Dari Malaysia Masih Mampu Tersenyum Cerita Pengalaman

Lebih kurang dua minggu lagi, genaplah dua bulan berlakunya serangan ke atas dua buah masjid secara berturut-turut di Christchurch, New Zealand yang meragut lebih 50 jemaah dan mencederakan 50 yang lain.

Tragedi itu menyayat hati ramai di seluruh dunia, tanpa mengira warna kulit dan agama. Kita di Malaysia juga turut menangisi serangan itu tambahan pula ia juga melibatkan rakyat negara ini.

En. Rahimi Ahmad, 39, salah seorang rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu telah menerima kunjungan daripada Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri di Hospital Burwood, Christchurch baru-baru ini.

Beliau kini sedang menerima rawatan lanjut selepas selesai menjalani pembedahan bagi mengeluarkan peluru akibat terkena tembakan penyerang ketika kejadian berkenaan di hospital berkenaan.

Apa yang menyentuh hati ialah beliau masih lagi mampu tersenyum dan bergelak tawa semasa menceritakan keadaan semasa serangan itu kepada Dato’ Seri Dr. Zulkifli.

Ia menggambarkan ketabahan dan kekuatan beliau menghadapi ujian di mana ia tidak akan mampu ditanggung oleh sebahagian besar daripada kita.

Dalam pada itu, Dr. Zulkifli dan rombongannya turut mengambil kesempatan untuk menyampaikan sedikit sumbangan daripada Yayasan Taqwa MAIWP kepada Rahimi bagi membantu meringankan beban yang ditanggung bersama keluarganya.

Mufti Wilayah Persekutuan itu turut memohon agar orang ramai terus mendoakan agar Rahimi dan mangsa-mangsa lain sembuh seperti sediakala dengan segera.

Sumber: Twitter Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi