Siakap Keli
Designed by Freepik
Freepik

Takut “Tertewas” Di Tengahari Semasa Bulan Ramadan? Amalkan Lima Tips Ini Untuk Kekal Bertenaga Lebih Lama

Tinggal beberapa hari sahaja lagi sebelum bulan Ramadan menemui kita semua. Bulan ke-sembilan dalam kalender Islam itu sering dinantikan kerana ia adalah satu bulan yang penuh keberkatan yang juga dikenali sebagai bulan paling mulia di sisi Allah swt.

Umat Islam di seluruh pelusuk dunia diwajibkan untuk berpuasa dan menahan diri daripada makan, minum serta melakukan sebarang perkara yang boleh membatalkan puasa.

Akan tetapi, menahan lapar dan dahaga dari terbit fajar hingga terbenam matahari adalah merupakan antara cabaran terbesar bagi semua insan yang berpuasa.

Oleh itu, bagi membantu anda untuk kekal bertenaga dengan lebih lama pada Ramadan kali ini, kami senaraikan lima(5) tips yang boleh diamalkan ketika bersahur nanti.

1. Ambil bijirin ketika bersahur

Everyday Health

Rendam bijiran dengan susu untuk menghasilkan juadah sahur yang bukan sahaja berkhasiat, namun mudah untuk disediakan. Hidangan ini kaya dengan protein, serat, lemak baik dan karbohidrat kompleks.

Karbohidrat kompleks ini akan melambatkan proses pencernaan sekaligus menyebabkan ia kekal bertahan lebih lama dalam perut anda.

2. Kurangkan mengambil air terlalu banyak

Mother Nature Network

Ramai yang berpendapat mengambil lebih banyak air semasa bersahur akan membantu kita dalam menahan diri dari dahaga ketika berpuasa.

Hakikatnya, mengambil air dengan kadar yang banyak akan menyebabkan badan kita akan mengeluarkan semula air dengan lebih cepat. Dua ke tiga gelas air masak ketika bersahur adalah kadar yang terbaik.

3. Elakkan makan makanan bergaram

SupplyBunny

Anda penggemar telur masin dan ikan masin? Kami cadangkan anda lupakan sebentar hidangan kegemaran anda itu ketika bersahur nanti.

Ini kerana tubuh badan anda memerlukan kandungan air yang banyak untuk meneutralkan rasa masin tersebut. Ia secara tidak langsung akan menyebabkan anda berasa dahaga dengan lebih cepat.

4. Makan pelbagai jenis buah-buahan

CLJ Gives

Mungkin ramai di antara anda yang sudah mengamalkan perkara ini buat sekian lama, namun ada di antara kita yang melakukan kesilapan dengan hanya memakan satu jenis buah sahaja ketika sahur.

Anda digalakkan untuk mengambil beberapa jenis buah-buahan kerana setiap jenis daripada mereka mempunyai nutrisi berbeza yang akan membantu kita kekal segar dan bertenaga sepanjang hari.

5. Pastikan anda lewatkan waktu bersahur 

Indian Express

Ini adalah tips paling asas untuk diamalkan. Ramai yang bersahur namun ramai juga daripada mereka sahur terlalu awal. Ia akan menyebabkan anda lebih cepat haus dan lapar.

Antara waktu yang sesuai untuk bersahur adalah di antara 10-15 minit sebelum waktu Imsak. Oh ya, jangan tidur selepas Subuh atau tenaga yang dihasilkan daripada makanan sahur akan dibazirkan ketika anda tidur.

Diharapkan dengan perkongsian kali ini, dapat membantu anda untuk menjalani ibadah puasa dengan lebih baik dan sempurna. Selamat berpuasa semua.

Sumber: Health.com, IDN Times

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi