Siakap Keli
Gambar : Bernama

Ahmad Zahid Gagal Pohon Pasport Dikembalikan Untuk Kerjakan Umrah

Kuala Lumpur : Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang berdepan  47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah (CBT) dan rasuah, supaya pasportnya yang berada dalam simpanan mahkamah, dikembalikan untuk beliau mengerjakan umrah.

Selepas mendengar penghujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan, Hakim Collin Lawrence Sequerah berkata sungguhpun mengerjakan umrah sangat digalakkan semasa Ramadan namun ia bukanlah wajib.

”Dalam pemahaman saya, tiada keperluan mendesak dan tiada kewajipan bagi pemohon (Ahmad Zahid) untuk mengerjakan umrah. Sungguhpun pemohon telah mengerjakan umrah sejak  30 tahun lepas, keadaan yang berlaku sekarang sangat berbeza memandangkan beliau kini menghadapi pertuduhan yang pelbagai dan serius. Oleh itu, mahkamah menolak permohonan ini,” katanya.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik, yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah bahawa anak guamnya perlu pergi ke Arab Saudi antara 9 Mei dan 3 Jun ini untuk mengerjakan umrah.

Hisyam berkata anak guamnya tidak mempunyai niat lain kerana beliau adalah seorang anggota parlimen dan keluarganya juga tinggal di negara ini.

“Beliau akan kembalikan pasport itu kepada mahkamah pada hari berikutnya selepas beliau pulang ke negara ini,” katanya.

Ahmad Zahid turut hadir di mahkamah.

Seorang lagi peguam, Datuk Ahmad Zaidi Zainal berkata anak guamnya tidak pernah gagal untuk mengerjakan umrah sejak  30 tahun lepas terutamanya dalam bulan Ramadan.

Hakim Sequerah: Jadi, adakah kamu mengatakan ia wajib? 

Ahmad Zaidi: Tidak… tapi sangat dituntut dalam Islam. Beliau tidak pernah gagal mengerjakan umrah sejak 30 tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya  Ahmad Sazilee Abdul Khairi membantah permohonan itu dengan mengatakan bukanlah keperluan mendesak bagi pemohon untuk mengerjakan umrah memandangkan pertuduhan yang dihadapinya sangat serius.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 18, 20, 21, 22 Nov dan 2, 3, 4, 5, 6, 9, 10, 11, 12,13 Dis untuk perbicaraan.

Pada 22 Mac, Hakim Sequerah menetapkan 18 hari untuk perbicaraan dari 8 Julai hingga 12 Sept.

Bagaimanapun, tarikh berkenaan telah dilapangkan untuk perbicaraan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang berdepan 25 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.28 bilion, yang dijadual bermula dari 19 Ogos hingga dua minggu pertama November.

Pada  19 Okt dan  14 Dis tahun lepas,  Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap sejumlah  46 pertuduhan, terdiri daripada 11 pertuduhan  CBT, lapan pertuduhan rasuah dan  27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan berjuta-juta ringgit kepunyaan Yayasan Akalbudi.

Pada 20 Feb tahun ini, beliau didakwa atas satu lagi pertuduhan  CBT membabitkan  RM260,000 milik Yayasan Akalbudi. Setakat ini, beliau berdepan sejumlah 47 pertuduhan.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.