Siakap Keli

Ayah Tergamak Cekik Dan Bunuh Lima Anak Kerana Tekanan Akibat Masalah Rumah Tangga Mahu Dirinya Diisytihar Tak Waras

Siapa sangka, seorang bapa yang bertanggungjawab boleh bertindak membunuh anak-anaknya dalam keadaan menyayat hati. Timothy Jones, seorang jurutera komputer membunuh 5 orang anaknya berusia 1 hingga 8 tahun di rumah mereka di Lexington, South Carolina dengan mencekik 4 anak dan memukul seorang daripada mereka sehingga mati.

Jones kemudian memasukkan mayat mereka ke dalam plastik yang kemudiannya diletakkan ke dalam SUV sebelum memandu lebih 1,125 kilometer selama seminggu merentasi North Carolina, Georgia, Alabama dan Missisipi, lokasi terakhir sebelum dia ditahan pada 6 September 2014.

Rumah treler lokasi Jones membunuh anak-anaknya. (Kredit: Richard Shiro/AP)

Perbuatannya terbongkar apabila polis yang menahannya kerana memandu dalam keadaan mabuk dan memiliki dadah sintetik mendapati terdapat bau yang tidak menyenangkan, ulat, darah dan baju kanak-kanak dalam kenderaannya.

Tertuduh didapati telah membuang mayat anak-anaknya di lereng bukit di pedalaman Camden, Alabama.

Jones dan anak-anaknya dilaporkan hilang oleh bekas isterinya dan pihak pengurusan sekolah apabila mereka gagal dihubungi. Beberapa minggu sebelum pembunuhan tersebut, Jones telah disiasat bawah beberapa kes penderaan ke atas anak-anaknya, bahkan kes tersebut masih dalam siasatan ketika pembunuhan berlaku.

Akibat masalah rumah tangga, tertuduh berpisah dengan isterinya dan diberi hak penjagaan anak-anak. Dia dikenali jiran-jiran sebagai seorang lelaki yang mudah disapa, dan anak-anaknya pula dilihat sebagai kanak-kanak yang ceria.

“Jones merupakan seorang ayah yang bertanggungjawab dan mampu menjaga anak-anaknya. Dia berjaya menghabiskan pembelajaran dalam bidang kejuruteraan ketika menjadi seorang ayah, suami dan melakukan lebih daripada satu kerja.”

“Apabila menghadapi masalah, dia berusaha mencari penyelesaian dan sanggup melalui proses yang sukar untuk mencapai resolusi,” tulis seorang ahli terapi keluarga dalam afidavit ketika penceraian Jones dan isterinya pada 2012.

Disebabkan tekanan, Jones akhirnya terpaksa mendapatkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat apabila tidak mampu mengurus rumah tangganya dengan baik.

Dia yang masih dibicarakan sehingga May ini mengaku tidak bersalah membunuh anak-anaknya dan minta diklasifikasikan sebagai tidak waras.

Sumber: Daily Mail, Timothy Jones Trial Podcast, Pos and Courier, New York Post

Amira

Love yourself.