Siakap Keli
Gambar: Unilad

Iker Casillas Dikejarkan Ke Hospital Selepas Diserang Sakit Jantung Ketika Sedang Berlatih

Iker Casillas telah mengongsikan sebuah gambar yang menunjukkan beliau sedang menerima rawatan di hospital menerusi akaun Twitter miliknya untuk menyatakan kepada semua yang terkesan dengan berita yang mengejutkan itu bahawa beliau berada dalam keadaan stabil.

Penjaga gawang pasukan Porto itu telah dikejarkan ke hospital selepas beliau mengadu mengalami sakit di bahagian dada ketika sedang berlatih pada pagi rabu.

Lagenda pasukan Real Madrid itu telah menjalani satu pembedahan di Hospital CUF di Porto dan telah dilaporkan sedang pulih daripada pembedahan tersebut.

Casillas telah dibanjiri dengan mesej dan kata-kata semangat dari semua peminat serta rakan-rakannya di serata dunia dan beliau berterima kasih kepada kesemua yang telah mendoakannya dengan memuat naik satu gambar yang diambil di katil wadnya dengan menunjukkan tanda “thumbs up”.

Casillas menulis: “Kesemuanya berada didalam keadaan yang terkawal, walaupun mencemaskan namun saya kini lebih kuat daripada biasa. Terima kasih yang tak terhingga buat semua yang telah memberi kata-kata semangat serta mendoakan kesihatan saya.”

Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh pasukan Porto telah menyatakan bahawa, penjaga gawang tersebut telah diserang sakit jantung atau penginfarkan miokardium akut semasa latihan pagi yang diadakan di Olival.

Casillas yang menjalani sesi latihan untuk bersiap sedia beraksi dalam satu perlawanan liga yang dijadualkan berlangsung di tempat sendiri menentang Aves hujung minggu ini, dilaporkan terpaksa diketepikan untuk bermain buat pasukannya sepanjang musim ini.

Beliau memulakan kerjayanya dengan mewakili kelab yang diimpikannya iaitu Real Madrid pada tahun 1999 ketika beliau masih remaja. Beliau telah mewakili kelab gergasi Sepanyol itu selama 16 tahun.

Gambar: Sportskeeda

Semasa beliau beraksi untuk Real Madrid, beliau telah membantu kelab gergasi Sepanyol itu memenangi liga juara-juara eropah sebanyak tiga kali untuk musim 2000, 2002 dan 2014. Selain daripada itu, beliau juga turut memenangi lima kejuaraan liga dan dua piala Copa del Rey bersama-sama dengan kelab yang bertapak di Madrid itu.

Bekas kelabnya itu telah memberi kata-kata semangat sebagai tanda hormat serta memberi kekuatan untuknya dalam melawan penyakit itu dengan menyatakan bahawa mereka mahu melihat “kapten abadinya itu pulih dan boleh beraksi kembali dengan secepat yang mungkin”.

Casillah berpindah ke Porto dari Real Madrid pada tahun 2015 dan telah membantu salah satu kelab gergasi eropah itu memenangi kejuaraan liga Portugal pada musim lepas.

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right