Siakap Keli
Gambar: Google

(Video) Kisah Benar: Penculikan Cucu Jutawan Minyak Amerika Yang Tidak Mahu Membayar Wang Tebusan Kepada Penculik

J Paul Getty adalah salah seorang jutawan terkaya di dunia dan terkenal yang memperolehi kekayaannya melalui hasil minyak. Namun dia bukan sahaja terkenal dengan kekayaannya semata-mata, dia juga turut dikenali sebagai salah seorang jutawan yang kedekut serta dingin sifatnya.

Kisahnya menjadi bualan ramai apabila dia bertindak menolak untuk membayar wang tebusan demi menyelamatkan nyawa cucunya yang diculik pada tahun 1973. Kerana tidak berpuas hati, penculik itu bertindak memotong telinga remaja tersebut dan menghantar cebisan telinga itu kepada atuknya itu.

Kisah tentang penculikan cucu seorang jutawan minyak ini menjadi amat terkenal sehinggakan ianya telah diinspirasikan untuk diterbitkan menjadi filem dan siri TV yang berjudul “All The Money In The World”.

Kisah Timmy mungkin merupakan pantulan yang paling tepat untuk kegigihan Getty. Dia adalah anak kepada isteri kelima dan terakhir Getty, Teddy Getty Gaston, yang meninggal pada April tahun lepas ketika dia berusia 103 tahun.

Semasa hari peringatannya, Teddy mendedahkan tentang sifat Getty yang ketat poket. Teddy yang juga merupakan seorang penyanyi dari Amerika, merintih tentang perlu membayar bil perubatan Timmy ketika dia buta disebabkan ketumbuhan di bahagian otak yang dialaminya.

Ketika Timmy berjuang untuk hidupnya, Getty gagal bertemu dengan anaknya itu selama empat tahun. Jutawan minyak tersebut gagal menghadirkan diri untuk menyambut kelahiran anaknya itu serta ketika Timmy meninggal pada usia 12 tahun, Getty juga gagal menghadiri pengebumiannya. Dia hanya mengirim sebuah nota meminta maaf untuk Teddy kerana terlalu sibuk untuk menghadirinya.

Walau bagaimanapun, Timmy tetap menyanjungi ayahnya itu. Dalam buku yang ditulis sendiri oleh Teddy, Alone Together, Dia ada menterjemahkan secara terperinci tentang betapa sayang dan cintanya Timmy kepada ayahnya itu semasa hari-hari terakhir anaknya itu pergi buat selamanya.

“Dia amat menyayangi ayahnya,” ujar Teddy.

Dia tidak pernah tahu bahawa ayahnya itu merupakan lelaki terkaya di dunia ketika itu. Dia sering mendengarnya dan dia akan berkata, ‘Itu yang dunia nampak. Saya hanya melihatnya sebagai seorang ayah yang saya sayang sahaja’, luahnya yang terlalu merindukan Getty.”

Dia menambah: “Kadang-kala saya duduk secara senyap-senyap di sampingnya semasa dia kelihatan sedang berfikir tentang sesuatu dan tiba-tiba dia akan berkata, ‘Bilakah agaknya ayah akan pulang? Saya benar-benar berharap bahawa saya mempunyai seorang ayah yang selalu ada di rumah seperti kanak-kanak lain. Ibu rasa dia sayangkan saya tak? Saya harap saya boleh berbual dengannya.’

Gambar: Find A Grave

“‘Baiklah, ayuh kita telefon dia,’ kata saya, lalu kami terus menghubungi Paul. Dia akan memberitahu semua orang di kemudian hari bahawa dia telah berbual dengan ayahnya.

“Dia tidak pernah meminta apa-apa daripada ayahnya, yang dia mahukan hanyalah untuk melihat ayahnya di rumah sahaja.

“Dia tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan negatif terhadap Getty yang pada hakikatnya tidak pernah datang untuk melawatnya. Dia terlalu sayang akan ayahnya itu, dia hanya mahukan seorang ayah yang selalu berada disampingnya sahaja.”

Disebabkan Teddy terlalu sedih dan marah atas perbuatan Getty ke atas dia dan anaknya, Teddy tidak pernah memaafkan Getty kerana dia tidak pernah balik ke rumahnya dari England semasa Timmy sakit, disebabkan itu mereka telah bercerai pada tahun 1958.

Gambar: Los Angeles Times

Dalam satu surat yang dihantar pada Getty sebelum kematian Timmy, Teddy merayu kepada suaminya itu untuk balik dan berjumpa dengan anaknya. Tetapi dia tidak pernah muncul mahupun membalas surat itu.

Dalam satu surat yang ditulis Teddy kepada Getty pada tahun 1954: “Saya kini sedar bahawa awak tidak akan balik ke rumah kami, kerana saya tahu awak tidak mahu, dan baru sekarang saya sedar bahawa awak tidak ambil peduli langsung akan keadaan Timmy mahupun saya.”

Pada masa itu, Getty sedang berunding dengan Arab Saudi dan Kuwait berkenaan hak minyak di negara itu. Perjanjian itu dilihat berpotensi menobatkannya sebagai jutawan minyak Amerika yang pertama.

Getty bukan sahaja enggan pulang ke rumah, malahan dia telah memberi harapan palsu kepada anaknya itu yang tiap-tiap hari menantikan kepulangannya.

Dia sering berjanji untuk melawat Timmy di hospital New York selepas anaknya itu berjaya dibedah dan dirawat, namun dia tidak pernah melakukannya.

Gambar: Los Angeles Times

Teddy tidak pernah melupakan akan air mata yang mengalir di pipinya atas kesusahan dan penderitaan yang dihadapinya kerana terpaksa melaluinya tanpa kelibat si suami di sisinya.

“Timmy memerlukan ayahnya,” katanya dalam memoirnya. “Saya juga memerlukannya.

Pada hari selepas Timmy sah didiagnos mempunyai ketumbuhan otak semasa Timmy berumur enam tahun pada tahun 1952, ramai ahli keluarga, termasuk kakak Teddy, Ware, anak saudara dan Timmy, dengan gembiranya berkumpul untuk menanti kepulangan kapal yang dinaiki Getty berlabuh di pelabuhan New York.

Gambar: Gawker

Namun satu mesej daripada kapten kapal telah mengesahkan bahawa dia tidak pernah menyatakan untuk melalui lautan Atlantik. Getty bukan sahaja gagal menaiki kapal itu, dia juga tidak mempedulikan untuk memberitahu keluarganya yang sedang menunggunya itu.

Dua hari kemudian, Timmy terpaksa menjalani satu daripada pembedahan yang penting dan masih berharap bahawa bapanya itu berada disisinya semasa pembedahan itu dijalankan.

Kemudiannya pada tahun itu, Getty telah menulis surat yang datangnya dari Ritz Hotel di Paris.

Dia berkata: “Saya harap Timmy boleh menjauhkan diri daripada doktor, melainkan harga rawatan yang dicaj itu hanya berharga $10.

“Saya tidak fikir doktor boleh memulihkannya, melainkan ianya bertujuan hanya untuk pemeriksaan, dan ianya tidaklah boleh melebihi $ 25.”

Dia memberitahu Teddy bahawa duit yang dia bayar untuk kuda buat hiburan Timmy mestilah keluar dari dompetnya sendiri.

Timmy meninggal ketika dia berusia 12 tahun.

Namun kes penculikan cucunya yang berusia 16 tahun, John Paul Getty III, itu yang telah membongkarkan siapa dirinya yang sebenarnya pada dunia.

Gambar: The Mirror

Remaja berumur 16 tahun yang bebas dan bersemangat itu tinggal di Rom dengan bapanya, J. Paul Getty II ketika dia diculik.

Dia yang telah kali terakhir dilihat bersama dengan penari  Belgia di Piazza Navona di Rom ketika itu dilaporkan hilang sebelum subuh pada 10 Julai 1973.

Ketika itu, Paul dikatakan sedang membeli sebuah buku komik di sebuah kedai akhbar sebelum dilaporkan diculik oleh tiga lelaki yang bertindak memukul kepalanya dengan pistol.

Ketiga-tiga lelaki itu telah membawanya ke sebuah gua yang terletak di selatan negara itu dan mengikatnya sementara mereka menyiasat tentang keluarga Getty untuk menuntut wang tebusan yang mahal. Kemudiannya, sekumpulan penculik itu terkejut apabila atuknya itu menolak untuk membayar wang tebusan kepada penculik itu.

Gambar: dalbyherald.com.au

Tiada sesiapa pun yang mengetahui dengan lebih lanjut tentang turutan peristiwa tersebut. Hanya sekeping nota sahaja yang berjaya ditemui tertulis: “Ke hadapan ibu, Saya telah diculik.

“Jangan biarkan saya dibunuh! Pastikan tiada campur tangan daripada pihak polis. Ini bukan satu gurauan.

“Pastikan hal ini tidak dihebohkan.”

Pada mulanya, pihak polis tidak mempercayai bahawa remaja itu telah diculik, namun ianya menjadi nyata selepas penculik itu menghubungi dan mengugut bahawa mereka akan menghantar salah satu daripada jari remaja itu kepada ibunya dan menuntut $17 juta daripada atuknya itu.

Pada awalnya J Paul Getty dilaporkan tidak mahu membayar wang tebusan itu dan menyatakan bahawa dia tidak hairan kerana masih mempunyai 14 cucu yang lain.

Memetik kata-katanya, dia menyatakan bahawa dia menentang untuk membayar penculik itu, kerana ianya hanya menggalakkan penculik itu menjadikan penculikan sebagai amalan jenayah mereka. Jika berjaya, ianya tidak mustahil untuk penculik-penculik itu mengulangi jenayah tersebut ke atas orang lain pula.

Penolakannya untuk membayar wang tebusan itu akan memberi kesan yang buruk buat remaja itu.

Gambar: All That’s Interesting

John Paul telah dilaporkan disiksa selama berbulan-bulan bahkan telinganya juga telah dipotong dan dihantar kepada syarikat akhbar tempatan.

Pada awal November, satu sampul surat telah dihantar ke akhbar Rome daily dan Il Messaggero. Sampul tersebut mengandungi segenggam rambut kemerahan dan telinga manusia yang terputus.

“Ini telinga pertama Paul,” jelas nota yang berada di dalam sampul tersebut.

“Jika dalam tempoh sepuluh hari keluarga anda masih percaya bahawa ini adalah gurauan yang hanya direka olehnya, maka sebelah lagi telinganya akan tiba untuk anda.”

Penghantaran telinga tersebut sudah cukup untuk buat atuknya itu bersetuju untuk membayar wang tebusan tersebut, namun dia cuba berunding agar wang tebusan itu dikurangkan kepada $ 3 juta (bersamaan dengan sekitar £ 1.2 juta dalam wang hari ini).

Pada masa itu remaja tersebut dianggarkan bernilai kira-kira £ 6 bilion.

Walau bagaimanapun, tindakannya itu dibuat bukan atas dasar belas kasihan ke atas cucunya, namun dia berbuat demikian hanyalah untuk mengurangkan pembayaran cukai yang dikenakan ke atasnya sahaja.

Setelah wang tebusan itu selesai dibayar, Paul akhirnya dibebaskan selepas lima bulan dia diculik.

Gambar: finance.nine.com.au

Selepas dia dibebaskan daripada penculikan itu, Paul menjadi kaki botol akibat daripada trauma yang dialaminya kerana penculikan tersebut.

Dan setelah sembilan tahun dia dibebaskan, dia telah dilaporkan menghidapi penyakit quadriplegia (lumpuh) berikutan dengan pengambilan methadone dan valium secara berlebihan.

Dia meninggal pada tahun 2011 ketika dia berumur 54 tahun.

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right