Siakap Keli
Gambar: Storytrender

Baru Berusia 10 Tahun, Budak Ini Jadi Kanak-Kanak Paling Gemuk Di Dunia Dengan Berat Mencecah Lebih 190kg

Seorang budak lelaki yang baru sahaja berusia 10 tahun telah menjadi kanak-kanak paling gemuk di dunia kerana mencatatkan berat sebanyak 196.8kg.

Mohammed Arbrar yang berasal daripada Pakistan itu dijadualkan akan menjalani pembedahan untuk mengurangkan berat badannya demi menyelamatkan nyawanya.

Dengan memiliki berat badan yang tidak normal, dia terpaksa bergelut dengan beratnya setiap kali dia hendak berdiri. Mempunyai selera makan yang luar biasa, selalunya dia akan menghabiskan makanan yang berkuantiti empat selera orang dewasa.

Gambar: GH Gossip

Walaupun pada asalnya dia dilahirkan dengan berat 3.6kg, ibu bapanya terkejut kerana dia boleh membesar dengan begitu luar biasa.

Doktornya memberitahu bahawa dia merupakan kanak-kanak yang paling gemuk di dunia dengan berat yang dicatatkan lebih berat berbanding kanak-kanak dari Indonesia bernama Arya Permana yang pernah menjadi tajuk utama akhbar kerana telah mencatatkan 184kg pada tiga tahun yang lalu.

Ibu bapanya yang mempunyai dua lagi orang anak yang sihat berkata, mereka tidak pernah mendengar mahupun mempunyai masalah obesiti.

Semasa bayi, dia sentiasa lapar dan akan minum susu sebanyak lima kali ganda yang diminum oleh abangnya bersamaan dengan dua liter untuk setiap suapan.

Disebabkan badannya yang terlalu berat, ibunya yang bernama Zareena tidak berdaya untuk menukarkan lampinnya seorang diri dan  dia terpaksa mendapatkan katil khas bagi menampung berat badan anaknya itu.

Zareena menyatakan: “Dia dilahirkan dengan berat yang dicatatkan sebanyak 3.6kg sahaja, namun sehingga kini beratnya tidak pernah menurun.

“Dia selalunya akan minum susu sebanyak dua liter semasa dia berumur dua tahun.

“Dan perutnya seolah-olah tidak pernah mencukupi. Dia akan menangis bagi mendapatkan makanan.

Dengan tubuh badannya yang besar, aktiviti yang biasa dilakukan manusia normal seperti berjalan dan duduk menjadi terbatas untuk Arbrar melakukannya.

Dia tidak pernah ke sekolah kerana dia tidak berdaya untuk berjalan lebih daripada tiga langkah.

Namun kini, ibu bapanya berharap agar Arbrar akan kembali mendapatkan berat yang normal selepas pakar bedah bariatric yang terbaik di Pakistan, Dr Maaz ul Hassan, telah bersetuju untuk melakukan pembedahan demi menyelamatkan nyawa kanak-kanak itu.

Zareena berkata: “Kami tidak pernah dengar akan obesiti. Ketika dia masih bayi, dia mempunyai bentuk badan yang agak comel dan kami berbangga dengan bentuk badannya itu.

“Semasa dia berumur enam tahun, dia telah mencatatkan berat sebanyak 95.2kg dan mempunyai selera seperti empat orang dewasa dalam setiap kali waktu makannya.

Walaupun ibu bapanya melarangnya untuk mengambil makanan ringan, dia dengan senangnya akan beralih ke empat pinggan nasi atau sepuluh keping chapati dengan kari ayam sekali gus.

“Seleranya tidak pernah dapat dipuaskan. Apa-apa sahaja yang saya masak, dia pasti akan menghabiskan setengah daripadanya dan baki setengah lagi daripada masakan saya barulah boleh dinikmati oleh kami berlima.

Arbrar walau bagaimanapun telah mengajak ibu bapanya untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapatkan bantuan berkenaan dengan berat badannya itu. Walaupun dia telah diberi rutin diet yang ketat, ianya sering gagal kerana Arbrar tidak mampu untuk melawan selera makannya yang besar itu.

Dengan penuh kerisauan serta terdesak akan penderitaan yang dilalui anak mereka itu, mereka akhirnya berkeputusan untuk berjumpa dengan Dr Maaz dua bulan yang lepas bagi mendapatkan bantuan dimana doktor itu telah mencadangkan beberapa penyelesaian bagi membantu menamatkan penderitaan anak mereka itu.

“Kami hampir buntu dalam mencari rawatan yang sesuai untuk anak kami. Namun kami tidak pernah putus harapan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukannya”.

“Saya berasa amat gembira kerana akhirnya Arbrar bakal mendapat bantuan yang diperlukan untuknya kembali hidup secara normal.”

Gambar: Storytrender

“Kami faham bahawa tabiat makan terlampau banyak itu merupakan satu penyakit dan dia perlu dilayan secara berlainan dari orang lain.

“Saya pasti dia akan dapat mengurangkan berat badan seperti pesakit-pesakit lain yang telah berjaya dirawat oleh Dr Maaz.

“Saya berharap bahawa dengan diet yang betul serta bersukan, dia akan kembali hidup dengan normal suatu hari nanti”, ujar Zareena.

Dr Maaz berkata: “Dia merupakan kanak-kanak paling gemuk di dunia buat masa ini.

“Malah, dia lebih gemuk berbanding kanak-kanak Indonesia yang pernah menjadi tajuk utama bualan orang ramai sebelum ini.

“Semasa dia bertemu dengan kami, dia dilihat tidak mampu untuk melangkah sebanyak tiga kali dalam satu satu masa.

“Dia adalah kanak-kanak yang mempunyai masalah obesiti walaupun latar belakang keluarganya tidak pernah seorang pun yang mempunyai masalah itu. Ibu bapa serta dua lagi adik beradiknya itu berada didalam keadaan normal.”

“Dia mempunyai masalah selera yang tidak berkesudahan dan ibu bapanya menyatakan bahawa dia makan terlalu banyak bagi kanak-kanak normal yang seusia dengannya”.

Arbrar akan menjalani satu pembedahan laparoscopic sleeve di mana sedikit lapisan diperutnya akan dibuang untuk mengehadkan pengambilan makanannya.

Operasi pembedahan tersebut dijangka akan selesai dalam masa sejam, dan selepas daripada pembedahan itu, Mohammed akan diberi susu mentega yang rendah lemak, sup ayam serta jus buah-buahan.

Sumber: Mirror

Aqmal Ezany

I write what is right