Siakap Keli

NASA Buat Persiapan Lintasan Asteroid Gergasi 1,100 Kaki Pada 2029, Benarkah Ia Sebahagian Kacau-Bilau Akhir Zaman?

Sebuah asteroid gergasi dengan kelebaran 1,100 kaki bersamaan kira-kira 335 meter dijangka melintasi bumi pada jarak 19,000 batu dari permukaan bumi.

99942 Apophis, yang membawa maksud Dewa Kacau Bilau dijangka dapat dilihat dengan mata kasar di langit Hemisfera Selatan, bermula dari semenanjung timur Australia. Dalam tempoh satu jam, ia akan merentasi Lautan India, Afrika dan Lautan Antartik pada 2029.

“Apophis merupakan salah satu daripada 2,000 asteroid berpotensi berbahaya (Potentially Hazardous Asteroids) yang telah dikesan setakat ini,” kata Paul Chodas, pengarah Centre of Near-Earth Object (CNEO).

Berdasarkan maklumat dari NASA, asteroid sebesar itu sangat sedikit dan amat jarang sekali dikesan mendekati bumi. Biasanya, saintis hanya berjaya mengesan asteroid bersaiz kecil berukuran lima hingga 10 meter yang melintasi orbit bumi.

Gambar menunjukkan kedudukan Apophis berbanding bumi. Titik biru merupakan satelit yang mengorbit bumi. (Gambar: NASA)

Justeru itu, NASA sedang bersiap sedia untuk melancarkan kamera penjejak asteroid yang berfungsi mengimbas batu-batu angkasa dan mengesan tanda-tanda haba dalam kegelapan.

Bill Nye, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Planetary Society ketika Persidangan Pertahanan Planet, Akademi Aeronautik Antarabangsa 2019 memberi amaran tentang impak asteroid yang dikatakan menjadi punca kepupusan dinosaur 66 juta tahun lalu.

“Asteroid akan menghentam bumi. Masalahnya kita tidak tahu bila, tetapi jika ia berlaku, peristiwa ini ibarat control-alt-delete untuk segala-galanya.”

Ketua Saintis NASA, Jim Green berkata,”Ini bukan soal apa yang berlaku, tapi bila ia (bencana) akan berlaku – kerana ia satu kepastian.”

Pada 2013, sebuah meteor (pecahan asteroid yang telah memasuki asmosfera bumi) telah menyebabkan kerosakan ke atas 7,200 bangunan dan secara tidak langsung mencederakan 1,491 orang di Siberia, Rusia. Meteor berukuran 20 m itu menjejaskan 6 buah bandar dan menyebabkan kerugian bernilai USD$ 33 juta (RM 136j).

Sebuah gedung musnah akibat gelombang meteor. (Gambar: Konstantin Kudinov)

Meteor dengan kelajuan 60,000 hingga 69,000 km/j itu meletus pada ketinggian kira-kira 29 km di udara, menyebabkan cermin bangunan pecah hanya dengan gelombangnya sahaja dan mencederakan ramai penduduk.

Meteor seberat 654 kg itu dikatakan mempunyai impak 26 hingga 33 kali lebih kuat daripada bom atom Hiroshima, bersamaan 300,000 tan TNT.

Meteor melintasi ruang udara Rusia. (Gambar: AP)

Disebabkan sinarannya yang menyerupai matahari, meteor tersebut gagal dikesan sebelum ia merentasi atmosfera bumi. Ketika itu, hanya sebuah meteor bersaiz kecil yang berjaya dikesan sebelum melintasi atmosfera 16 jam kemudian.

Ketua Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA), Leviticus Lewis berkata,

“Kita perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan (impak asteroid). Ia adalah peristiwa yang mempunyai kemungkinan yang rendah untuk berlaku, tetapi mempunyai kesan yang besar.”

NASA, FEMA dan Rumah Putih dalam satu telekonferens sedang berusaha membuat strategi pengurangan asteroid dan menghalang asteroid tersebut dari menghempap bumi.

“Kita mungkin boleh menggunakan beberapa kapal angkasa untuk melanggar asteroid tersebut atau meletuskan senjata nuklear berhampirannya di angkasa sebelum ia masuk ke bumi,” ujar Nye.

Apophis. Adakah ini sebahagian dari kacau bilau akhir zaman?

Sumber: NASA, The Independent, Space, English Russia TV

Amira

Love yourself.