Siakap Keli
Gambar : BERNAMA

10 Pekerja Asing Cedera Kontena Kediaman Terbalik

Sepuluh pekerja asing nyaris maut selepas lapan kontena yang dijadikan tempat tinggal mereka di sebuah tapak pembinaan di Kuala Jalan Baru, di sini terbalik akibat hujan lebat dan ribut, pagi tadi.

Semua mangsa yang terdiri daripada lelaki berusia antara 25 dan 45 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 9.50 pagi sebelum sebuah jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat  Balik Pulau bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi menyelamat.

“Kami dimaklumkan kejadian itu berlaku kira-kira pukul 9.45 pagi iaitu ketika hujan lebat dan angin kuat sehingga menyebabkan kontena-kontena  yang dijadikan tempat tinggal pekerja asing di tapak pembinaan berkenaan terbalik,”  katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya ketika kejadian, sejumlah pekerja asing berada dalam kontena berkenaan untuk berteduh daripada hujan kerana tidak dapat menjalankan kerja di tapak pembinaan.

“Ketika pihak bomba tiba, ada warga asing yang telah berjaya diselamatkan oleh rakan mereka dan pihak bomba terus menjalankan operasi menyelamat mangsa yang masih terperangkap di bawah kontena di situ,” katanya.

Saadon berkata mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan kejadian setakat ini mendapati tiada lagi mangsa yang terperangkap dan menurut pekerja asing di situ, semua rakan mereka telah di selamatkan,” katanya.

Sumber : BERNAMA

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.