Siakap Keli

Seri Dengan Huddersfield, United Sah Terlepas Slot Liga Juara-Juara Eropah

Selepas seri dengan Huddersfield malam semalam, Manchester United akhirnya terpaksa akur terlepas slot automatik ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL). Layak ke UCL musim hadapan menjadi sasaran utama Ole Gunnar Solksjaer selepas dilantik sebagai pengurus tetap United baru-baru ini. Namun, prestasi terumbang-ambing United sejak tewas kepada Barcelona dalam saingan suku akhir UCL musim ini bagaikan memberi mimpi buruk buat skuad The Reds Devil itu.

Manakala Chelsea pula selepas setahun bermain di Liga Europa, Chelsea akhirnya kembali berpeluang untuk beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) selepas kedua-dua kelab iaitu Arsenal dan Manchester United gagal meraih mata penuh pada perlawanan liga Perdana Inggeris yang berlangsung semalam.

Peluang Chelsea untuk merebut tempat bagi beraksi di Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) kembali terbuka selepas skuad The Blues itu mengalahkan Watford 3-0 dalam aksi yang berlangsung di Stamford Bridge untuk perlawanan yang ke 37 bagi musim 2018-2019 yang hanya berbaki satu perlawanan sahaja lagi.

Gol-gol Chelsea yang dijaringkan oleh Gonzalo Higuain, David Luiz dan Ruben Loftus-Cheek itu telah membantu meletakkan pasukan mereka di tangga ketiga keseluruhan liga selepas Tottenham Hotspur yang menghuni tangga ketiga liga sebelum ini dibezakan dengan satu mata sahaja selepas skuad kendalian Mauricio Pochettino jatuh ke tangga keempat liga kerana tewas kepada Bournemouth dalam perlawanan yang berlangsung pada hari sabtu.

Kemenangan Chelsea itu telah menambahkan tekanan buat Arsenal dan Manchester United dalam merebut tempat untuk ke kejuaraan yang berprestij itu. Skuad Red Devils memulakan perlawanan ketika menentang Huddersfield dengan agak baik selepas Scott McTominay berjaya menjaringkan gol awal di minit yang ke lapan. Namun, skuad kendalian Ole Gunnar Solskjær itu gagal mempertahankan gol tersebut sehingga habis perlawanan selepas Isaac Mbenza berjaya menjaringkan gol di minit ke-59 hasil daripada kesilapan benteng Manchester United untuk mengikat skuad Red Devil itu 1-1.

Arsenal juga dilihat mengalami nasib yang sama dengan Manchester United walaupun Pierre-Emerick Aubameyang berjaya meletakkan skuad The Gunners itu dihadapan terlebih dahulu menerusi sepakan penalti seawal minit ke-9. Walau bagaimanapun, pada minit ke-61 Brighton berjaya menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti yang diambil oleh Glenn Murray selepas Solly March dikasari di dalam kotak penalti Arsenal.

Peluang Manchester United untuk bermain di Liga Juara-Juara Eropah telah tertutup selepas mereka hanya menduduki tempat keenam dalam liga dan ketinggalan empat mata di belakang Tottenham Hotspur yang kini menduduki tempat keempat dalam liga. Arsenal pula mempunyai misi getir apabila perlu menang menentang Burnley dan perlu berharap agar Tottenham Hotspur tewas pada perlawanan yang akan berlangsung pada hujung minggu ini bagi mendapatkan tempat untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah untuk musim yang akan datang. Walaupun begitu, Arsenal masih mempunyai satu lagi tiket untuk ke Liga Juara-Juara Eropah jikalau skuad kendalian Unai Emery itu menjuarai Liga Europa.

Chelsea telah berjaya beraksi di Liga Juara-Juara Eropah untuk 13 musim berturut-turut pada tahun 2003 sehingga 2016. Skuad The Blues itu pernah menjuarai kejuaraan yang berprestij itu sebanyak sekali selepas menewaskan Bayern Munich dalam satu perlawanan yang mendebarkan pada tahun 2012. Skuad kendalian Maurizio Sarri itu juga turut akan beraksi dalam Liga Europa menentang Eintracht Frankfurt bagi merebut tempat ke perlawanan akhir. Namun begitu, ketiadaan pemain tengah mereka iaitu Ngolo Kante akibat kecederaan dilihat sebagai ketempangan yang perlu di atasi oleh jurulatih dari Itali itu bagi bersaing dengan kelab dari Jerman itu. Chelsea juga dijadualkan untuk menentang Leicester City dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris bagi musim 2018/2019 pada hujung minggu ini.

Sumber: Yahoo

Aqmal Ezany

I write what is right