Siakap Keli

Gangguan Bekalan Air Di Klang Dijangka Pulih Secara Berperingkat Mulai Malam Ini

Klang : Gangguan bekalan air yang menjejaskan hampir 800,000 pengguna di 65 kawasan sekitar Klang sejak Sabtu lepas dijangka pulih secara berperingkat mulai malam ini.

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata kerja-kerja membaik pulih paip utama yang pecah   di tapak West Coast Expressway (WCE) Banting-Taiping di sini akibat runtuhan tanah iaitu paip berkapasiti 1,400mm sedang giat dijalankan kerana ia memberi kesan langsung kepada pengguna di daerah itu.

Katanya, dua lagi paip berkapasiti 600mm dan 900mm yang turut pecah juga telah siap dibaik pulih sepenuhnya sejak kelmarin dan hari ini malah sudah boleh beroperasi seperti sedia kala.

Beliau berkata ketiga-tiga paip itu pecah akibat berlakunya pergerakan tanah di tapak projek WCE menyebabkan berlakunya runtuhan kecil yang menghimpap dan memberi tekanan kepada paip-paip berkenaan.

“Untuk hari ini, kerja baik pulih paip 1,400mm itu dijangka selesai dalam masa beberapa jam lagi dan sudah boleh menyalurkan air ke Kolam Tadahan Air Lipat Kajang untuk diagihkan bekalan kepada pengguna mulai malam ini, jika tiada kerosakan lain lagi.

“Kawasan paling lewat bekalan air akan sampai kepada pengguna adalah di Telok Gong iaitu dalam tempoh 24 jam daripada pukul 6 petang ini,” katanya kepada sumber selepas melawat lokasi paip pecah itu, di sini hari ini.

Katanya, semasa berlakunya gangguan bekalan air yang tidak dirancang sejak Sabtu lepas, Air Selangor telah menggerakkan 74 tangki ke kawasan terjejas dan mengagihkan kira-kira 20,000 air mineral lima liter kepada pengguna bagi meringankan bebas pengguna khususnya umat Islam yang sedang menjalani ibadah puasa.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pihaknya juga telah mengarahkan pemaju lebuh raya itu untuk menghentikan sementara pembinaan jajaran berkenaan supaya lokasi ketiga-tiga paip tersebut dapat dibersihkan sepenuhnya daripada sisa runtuhan tanah.

Tambah beliau, Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM), Jabatan Kerja Raya (JKR) serta agensi berkaitan juga diminta untuk melihat dan menilai kembali kualiti kerja pembinaan di projek WCE bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Sumber : Bernama

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.