Siakap Keli
Gambar: Finews asia

Jabatan Peguam Negara Umum AS Pulangkan Duit 1MDB Kepada Kerajaan Malaysia Hari Ini

Pihak Kerajaan Malaysia hari ini telah mengesahkan bahawa Kerajaan Amerika Syarikat telah memulangkan wang sebanyak USD 57 Juta yang merupakan aset 1MDB yang telah disita oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Wang tersebut merupakan pembayaran yang pertama diperoleh dari Kerajaan Amerika Syarikat hasil daripada rundingan yang dibuat oleh pihak berkuasa Malaysia.

Berkenaan dengan itu, terdapat beberapa baki lagi wang milik 1MDB yang masih dalam proses untuk dihantar pulang dan akan sampai ke Malaysia dalam masa yang terdekat oleh Kerajaan Amerika Syarikat. Sehubungan dengan itu, kerajaan Malaysia yakin bahawa proses membawa pulang segala aset-aset yang dimiliki 1MDB yang berada di seluruh di dunia bakal dapat dicapai pada masa yang akan datang.

Ikuti kenyataan rasmi yang dikeluarkan Jabatan Peguam Negara Malaysia berkenaan penghantaran pulang wang 1MDB:

 


KENYATAAN MEDIA

PENGHANTARAN PULANG WANG 1MDB

Dengan sukacitanya Kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa Kerajaan Amerika Syarikat (AS) telah pun menghantar pulang dan akan memulangkan sejumlah besar wang ke Malaysia, yang merupakan pembayaran pertama bagi dana yang diperoleh semula hasil daripada penyitaan aset-aset yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di bawah inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS.

 

Baru-baru ini DOJ telah mengumumkan bahawa daripada USD4.5 bilion yang telah dipindahkan secara salah daripada 1MDB, aset-aset yang sedang diusahakan oleh DOJ untuk disita melalui pelbagai tindakan aduan sivil yang difailkan semenjak tahun 2016 sehinggalah 2019 dianggarkan bernilai sebanyak USD 1.7 bilion. Aset-aset ini termasuklah kapal layar besar mewah, Equanimity yang telah dijual secara kehakiman oleh Mahkamah Admiralti Malaysia bulan lepas pada harga USD126 juta.

 

Pemindahan pertama dana yang dipulangkan sebanyak USD57,036,688.68 telah dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB, sebuah akaun amanah, yang dibuka secara khusus untuk tujuan ini. Jumlah ini disita daripada Red Granite Pictures, sebuah syarikat pembikinan filem yang berpangkalan di AS yang dikaitkan dengan mantan Perdana Menteri Najib Razak dan anak tirinya Riza Aziz dan lanjutan daripada penyelesaian sebanyak USD60 juta yang direkodkan di Mahkamah California. Sejumlah USD3 juta ditolak untuk membayar semula kos-kos yang telah dibelanjakan oleh DOJ dan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai penyelesaian untuk dana Red Granite. Juga termasuk dalam penolakan ini ialah kos-kos yang telahg dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita dan memelihara Equanimity semasa kapal tersebut ditahan di perairan Indonesia sebelum dibawa ke perairan negara ini.

 

DOJ kini dalam proses untuk menghantar pulang sejumlah USD139 juta wang yang diperoleh hasil daripada jualan kepentingan milik Jho Low dalam Park Lane Hotel, di Manhattan. Kesemua kos yang telah dibelanjakan oleh DOJ dan FBI untuk menyiasat, menyita, membicarakan dan mencapai penyelesaian bagi aset Park Lane ini akan ditolak daripada wang penyelesaian tersebut, dan bakinya dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun pemulihan aset 1MDB dalam masa yang terdekat.

 

Oleh itu, Malaysia telah mendapatkan semula USD322 juta (kira-kira RM 1.3 bilion) nilaian daripada aset-aset 1MDB semenjak siasatan ke atas 1MDB bermula secara efektifnya selepas Pilihan Raya Umum ke-14 pada Mei 2018. Suatu jumlah lain sebanyak SGD50 juta daripada dana yang berkaitan dengan 1MDB telah diarahkan oleh Mahkamah di Singapura untuk dihantar pulang. Sejumlah SGD15 juta telah dikreditkan ke dalam akaun aset pemulihan 1MDB antara September tahun lepas sehingga Mac tahun ini. Baki sebanyak SGD35 juta akan dikreditkan tidak lama lagi.

 

Pemulihan aset ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa bantuan dan kerjasama yang baik oleh pihak berkuasa Malaysia dengan rakan-rakan sejawat di Amerika Syarikat dan Singapura. Kami ingin menyatakan rasa terima kasih kami kepada mereka. Usaha untuk mendapatkan semula aset 1MDB di seluruh dunia masih berjalan, dan Malaysia yakin akan lebih banyak wang bakal didapatkan semula dalam bulan-bulan yang mendatang.

Tommy ThomasĀ 

Peguam Negara

7 Mei 2019

 

 

Gambar: FB Jabatan Peguam Negara Malaysia
Gambar: FB Jabatan Peguam Negara Malaysia

Sumber: FB Jabatan Peguam Negara Malaysia

Aqmal Ezany

I write what is right