Siakap Keli

Mayat Lelaki Ditemui Di Sungai Kuyuh Dipercayai Dibunuh – Polis

Lelaki yang ditemui mati di Sungai Kuyuh berhampiran Taman Serdang Jaya Ahad lepas dipercayai dibunuh berdasarkan terdapat kesan tikaman pada perut dan kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Ismadi Borhan berkata lelaki itu dipercayai telah meninggal dunia lebih dua hari sebelum mayatnya ditemui di sungai itu.

“Kami juga percaya mangsa adalah warga asing selepas pemeriksaan dilakukan mendapati tiada suntikan Bacillus Calmette-Guerin (BCG) pada lengan lelaki terbabit,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Beliau juga menolak identiti mangsa yang dipercayai berusia lingkungan 70-an seperti yang digembar-gemburkan media sebelum ini.

Berdasarkan laporan hasil bedah siasat itu, kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Ahad lepas, Bernama melaporkan mayat lelaki yang lengkap berpakaian itu ditemui oleh orang awam sebelum polis mendapatkan bantuan daripada pihak bomba bagi mengangkat mayat mangsa kira-kira jam 9 malam. Tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

Sumber : Bernama

Fildza Zainal

No matter what people tell you, words and ideas can change the world. So pick up the pen and write.