Siakap Keli

Paip Pecah Di Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) Jejas Hampir 90 Kawasan Di Klang

Sekurang-kurangnya 175,036 pengguna dari hampir 90 kawasan di Klang yang mendapatkan bekalan air dari Kolam Air Bukit Lipat Kajang terjejas disebabkan mengalami gangguan bekalan air berikutan kejadian paip pecah di tapak projek pembinaan Lebuhraya West Coast Expressway (WCE) laluan Banting-Taiping.

Pasukan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. dengan pemantauan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sedang menjalankan usaha pembaikan bagi memastikan bekalan air pulih untuk kegunaan penduduk di kawasan terlibat.

Proses pembaikan dijangka mengambil masa yang lebih lama akibat berlaku pergerakan tanah di tempat kejadian.

Gambar: Bernama News Channel

Pengerusi Infrastruktur, Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Ir. Izham Hashim memaklumkan, pihaknya dan WCE sedang menjalankan siasatan untuk mencari punca pergerakan tanah berlaku.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Abdul Raof Ahmad berkata proses pemulihan bekalan air akan dilakukan secara berperingkat.

“Air Selangor akan menyegerakan bekalan air dalam tempoh 24 jam sekiranya masalah proses pembaikan paip itu dapat diselesaikan,” katanya.

Pelanggan boleh menghubungi talian 15300 atau Whatsapp ke 019-281 6793 dan 019-280 0919 untuk sebarang bantuan atau layari www.syabas.com.my dan Twitter @air_selangor untuk perkembangan terkini.

Sumber: Bernama

Amira

Love yourself.