Siakap Keli
Gambar: Free Malaysia Today

Elakkan Berbuka Puasa Dengan Rokok, Ketahui Bahaya Menghisap Rokok Dalam Keadaan Perut Kosong

Di bulan ramadhan yang mulia ini, umat islam di seluruh dunia diwajibkan untuk berpuasa serta digalakkan untuk berkejaran melakukan amal ibadah sebanyak yang mungkin. Pasti ada dikalangan kita yang mempunyai rakan atau ahli keluarga kita sendiri yang merupakan seorang perokok.

Sepertimana yang kita ketahui, rokok merupakan suatu benda yang boleh memudaratkan kesihatan kepada orang yang menghisapnya, mahupun orang yang berada di sekelilingnya. Walaupun begitu, di bulan ramadhan yang mulia ini, selain daripada perlu menahan nafsu makan dan minum, para perokok juga harus menahan diri mereka daripada keinginan untuk merokok.

Keinginan tersebut pastinya akan diterjemahkan apabila sampainya waktu untuk berbuka puasa. Kebanyakan para perokok, mereka pastinya akan membatalkan puasa mereka dengan menghisap rokok terlebih dahulu. Namun,  apa yang mereka tidak tahu ialah ianya boleh mendatangkan masalah kesihatan kepada tubuh mereka pada masa yang akan datang.

Apakah kesan yang bakal dihadapi oleh perokok sekiranya mereka berbuka puasa dengan menghisap rokok? ikuti perkongsian yang telah dikongsi oleh HelloDoktor berkenaan dengan perkara tersebut.

Puasa, adalah waktu anda melakukan banyak ibadah dan meninggalkan tabiat buruk anda. Ini masa yang tepat untuk mengubah hidup anda menjadi lebih baik. Tabiat buruk, seperti merokok, semasa bulan puasa mungkin sedikit demi sedikit anda boleh mengurangkannya. Anda perlu tahu bahawa merokok semasa berbuka puasa lebih berbahaya terhadap kesihatan berbanding merokok semasa tidak berpuasa. Mengapa?

Bahaya merokok semasa buka puasa

Rokok mengandungi banyak bahan kimia yang berbahaya untuk kesihatan anda. Bahan kimia utama yang terkandung dalam rokok adalah karbon monoksida, nikotin dan tar. Bahan kimia ini akan lebih berbahaya jika masuk ke dalam tubuh anda ketika keadaan perut kosong selepas berjam-jam anda puasa.

Karbon monoksida

Apabila berbuka puasa, tubuh anda memerlukan nutrisi dan cecair untuk mengganti tenaga yang hilang sepanjang puasa. Jika anda terus merokok ketika berbuka puasa dalam keadaan perut kosong, risiko anda untuk mengalami mual, muntah, keletihan, dan pening akan meningkat.

Kandungan karbon monoksida dalam asap rokok boleh masuk ke dalam aliran darah dan menurunkan kadar oksigen dalam darah. Ini menyebabkan sel-sel dalam tubuh anda kekurangan oksigen, sehingga anda merasa letih dan pening. Gas ini juga boleh menurunkan fungsi otot dan jantung.

Karbon monoksida dalam darah juga dapat meningkatkan kadar kolesterol jahat dalam darah. Lama-kelamaan, ini boleh menyebabkan pengumpulan plak di pembuluh darah arteri anda serta membuatkan pembuluh darah arteri mengeras, kaku, dan kurang elastik. Ini kemudiannya mengakibatkan pembuluh darah menyempit dan akhirnya cenderung kepada penyakit jantung dan strok.

Nikotin

Merokok dalam keadaan perut kosong juga boleh meningkatkan risiko anda mendapat kanser paru-paru. Nikotin yang diserap tubuh dalam keadaan perut kosong lebih besar berbanding dalam keadaan perut sudah terisi. Seterusnya, semakin besar risiko terkena kanser paru-paru.

Nikotin dalam rokok juga boleh menimbulkan banyak kesan buruk bagi kesihatan, seperti peningkatan tekanan darah, degupan jantung, dan aliran darah ke jantung, serta menyebabkan penyempitan dan pengerasan pembuluh darah. Semua ini kemudiannya boleh meningkatkan risiko serangan jantung.Nikotin juga merupakan zat adiktif yang membuatkan pergantungan anda dengan merokok. Zat ini boleh tinggal dalam tubuh anda selama 6-8 jam bergantung kekerapan anda merokok.

Gambar: betterhealth.vic.gov.au

Puasa boleh menjadi masa latihan untuk berhenti merokok

Puasa adalah masa di mana anda harus menahan segala nafsu, seperti nafsu makan dan minum, termasuk nafsu untuk merokok. Seterusnya, puasa boleh menjadi waktu yang tepat bagi anda untuk melatih diri mengurangkan jumlah pengambilan rokok sehari. Tidak merokok selama puasa lebih kurang 13 jam sehari mungkin adalah suatu kejayaan bagi perokok.

Masa merokok anda ketika puasa sudah pasti berkurang. Sebelum ini anda boleh merokok pada bila-bila saja, namun sepanjang bulan puasa anda hanya boleh merokok semasa berbuka puasa hingga sahur. Pada masa yang terhad ini, kurangkan jumlah rokok yang anda “bakar” sedikit demi sedikit, sehingga anda akan terbiasa merokok dengan jumlah yang lebih sedikit. Masa merokok yang lebih terhad semasa bulan puasa mungkin dapat membantu anda mengurangkan tabiat merokok.

Mulakan dengan mengurangkan satu batang rokok sehari, lakukannya sehingga anda terbiasa dan kemudiannya cuba untuk mengurangkan satu batang rokok lagi dari jumlah sebelumnya. Lakukan perkara ini secara berterusan sehingga anda mungkin tidak merokok lagi. Walaupun bulan puasa telah selesai, anda boleh meneruskan usaha anda untuk berhenti merokok. Kuncinya adalah konsisten.

Sumber: HelloDoktor

Aqmal Ezany

I write what is right