Siakap Keli

(Video)Lukisan Gajah Ini Cantik Dan Buat Pengunjung Kagum, Tapi Ramai Yang Tak Tahu Realiti Terjadi Disebaliknya

Pernah tak anda terbayang seekor gajah memegang berus dan melukis menggunakan belalainya? Percaya atau tidak, gajah yang pandai melukis sememangnya wujud!

Suda, seekor gajah dari Taiwan pernah viral suatu ketika dahulu dengan kebolehannya melukis dengan cantik sekali. Sekali pandang, kita tak akan sangka yang lukisan tersebut dilukis oleh seekor gajah. Hasil seni dari gajah tersebut dijual bermula pada harga USD$ 500 (RM 2000).

Suda bukan satu-satunya gajah yang pandai melukis. Ruby, seekor gajah yang dipelihara di Phoenix Zoo juga mempunyai kebolehan yang sama. Bahkan, salah satu hasil seninya mencecah harga kira-kira RM 100 ribu!

Ramai yang kagum dengan kebolehan Suda

Walaubagaimanapun, ramai juga yang menyuarakan keraguan mereka samada gajah tersebut melukis mengikut daya imaginasi sendiri ataupun telah dilatih untuk menghasilkan lukisan yang tertentu, tanpa menggunakan kreativiti sendiri.

Mereka turut menyuarakan kekhuatiran andai gajah-gajah tersebut telah didera ketika dilatih untuk membuat lukisan tersebut.

Gajah merupakan haiwan yang tidak asing lagi dalam dunia sarkas. Tahukah anda, di sebalik kepandaian gajah menghiburkan manusia, tersembunyi rahsia besar yang kebanyakan kita tidak tahu?

Gajah merupakan haiwan yang cerdik dan tidak akan menuruti segala kehendak manusia sewenang-wenangnya, apatah lagi perbezaan saiz yang ketara membuatkan manusia boleh diinjak pada bila-bila masa. Namun, apakah punca yang membuatkan haiwan gergasi pintar itu tunduk dan patuh kepada manusia?

Pajaan

Pajaan, satu amalan yang didakwa dilakukan oleh penjaga-penjaga gajah sejak beratus tahun dahulu untuk melatih gajah mengikut arahan. Ia merupakan satu ‘latihan’ yang dilakukan untuk mematahkan semangat sang gajah.

Anak gajah akan dipisahkan daripada ibunya pada usia muda dan dikurung. Sebagai haiwan yang rapat dengan induk dan hidup berkumpulan, anak gajah yang dipisahkan akan mengalami trauma – tujuan utama pajaan dilakukan.

Gajah-gajah ini didakwa dibiarkan lapar dan dahaga, dirantai dan dipukul dalam kurungan yang sempit. Sekiranya anak gajah melawan, mereka akan dipukul dengan lebih teruk dan didera sehinggalah haiwan itu berputus asa untuk melawan.

Sebagai haiwan yang mempunyai memori yang kuat, haiwan ini tidak melupakan penderaan tersebut hingga dewasa, membuatkan mereka patuh kepada manusia pada jangka masa yang lama.

Setelah pajaan berakhir, anak gajah akan dilatih membuat persembahan tertentu seperti bermain gelung, berdiri dengan dua kaki, bermain alat muzik dan melukis. Gajah yang enggan mengikut arahan akan dicucuk di tempat-tempat sensitif seperti telinga dan mata, membuatkan ada antara haiwan tersebut yang cedera dan buta.

Gajah juga boleh menzahirkan kesedihan melalui air mata seperti manusia. (Gambar: News Punch)

Apa yang boleh dilakukan untuk hentikan amalan ini?

Rata-rata di media sosial menyeru orang ramai memboikot sebarang aktiviti yang mempergunakan haiwan untuk melakukan kerja-kerja yang bukan fitrah mereka. Jika haiwan lakukan sesuatu yang mereka tidak akan lakukan di habitat asal, hati-hati. Kemungkinan besar mereka didera sebelum dieksploitasi.

Pemandu gajah menggunakan bullhook untuk mencucuk bahagian sensitif gajah jika ia enggan mengikut arahan. (Gambar: IFAW)

Sumber: PETA, One Green Planet, Strong Sensitive Souls, Jamii Forums

Amira

Love yourself.