Siakap Keli
LIVERPOOL, ENGLAND - MAY 07: Ernesto Valverde, Manager of Barcelona reacts during the UEFA Champions League Semi Final second leg match between Liverpool and Barcelona at Anfield on May 07, 2019 in Liverpool, England. (Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

“Mereka Benar-Benar Menekan Kami,” Valverde Akui Gagal Menyaingi Intensiti Liverpool Punca Mereka Tumbang

Liverpool sekali lagi berjaya menjejakkan kaki ke pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) untuk kali kedua berturut-turut selepas berjaya mengenepikan kelab gergasi dari Sepanyol iaitu Barcelona dalam satu perlawanan yang penuh dramatik di Anfield awal pagi tadi.

Ketinggalan 3-0 pada perlawanan pertama yang berlangsung di Nou Camp serta dibelengu dengan masalah kecederaan yang berlaku terhadap pemain-pemain utama skuad The Kop itu telah membuatkan ramai peminat-peminat kelab tersebut tidak menaruh harapan yang tinggi untuk melihat kelab kesayangan mereka memenangi perlawanan timbal balik yang berlangsung pada awal pagi tadi.

Walau bagaimanapun, ajaibnya skuad yang terkenal serta digeruni di pentas UEFA itu telah berjaya menewaskan skuad The Catalan itu dengan kemenangan 4-3 sekali gus melayakkan diri ke perlawanan akhir.

Skuad The Kop itu akan menanti keputusan satu lagi perlawanan separuh akhir yang akan berlangsung pada awal pagi esok di antara Ajax dan Tottenham Hostpur untuk mengetahui siapa yang bakal memenangi perlawanan itu untuk bertemu dengan mereka di pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah.

Liverpool yang juga dikenali sebagai The Reds tidak menjangkakan langsung untuk menang dalam perlawanan tersebut, namun selepas Divock Origi membuka jaringan awal pada minit ke-6, segalanya berubah.

Penyerang Belgium, Origi, tidak mensia-siakan kepercayaan yang diberi oleh pengurusnya Jurgen Klopp selepas terpaksa mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Mohamed Salah dan Roberto Firmino yang diketepikan akibat daripada kecederaan.

Gol pertama yang dijaringkan oleh Divock Origi itu berlaku daripada bola muntah yang gagal ditepis keluar oleh Marc-Andre ter Stegen hasil daripada rembatan leret yang dilepaskan oleh kapten Liverpool iaitu Jordan Henderson.

Walau bagaimanpun, Barcelona tidak memberi saingan yang mudah kepada Liverpool dan perlawanan itu telah menyaksikan kedua-dua kelab itu bertukar-tukar serangan namun kedua-duanya gagal mencari gol kedua sehinggalah tamatnya separuh masa pertama.

Sejurus selepas perlawanan dimulakan kembali, Georginio Wijnaldum yang menggantikan Andrew Robertson dalam separuh masa kedua kerana mengalami kecederaan telah berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring gol kedua dalam perlawanan tersebut berikutan kejayaannya menjaringkan gol pada minit ke-54 selepas menerima umpanan bola tinggi yang dihantar menerusi salah seorang pemain muda Liverpool Trent Alexander Arnold.

Kurang daripada dua minit kemudian, Wijnaldum sekali lagi menggegarkan stadium Anfield apabila berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk Liverpool selepas tandukannya yang dihantar menerusi Xherdan Shaqiri berjaya melepasi penjaga gawang Barcelona yang dikawal Ter Stegen.

Selepas menerima suntikan moral hasil daripada gol penyamaan tersebut, skuad meyserside itu meneruskan rentak cemerlang mereka dengan memburu gol kemenangan bagi membolehkan mereka layak ke perlawanan akhir.

Gol kemenangan yang dicari-cari itu akhirnya menjelma ketika perlawanan hanya berbaki 12 minit sahaja lagi. Gol kemenangan tersebut telah dijaringkan oleh Origi hasil daripada satu sepakan sudut yang diambil oleh Alexander Arnold selepas beliau menyedari bahawa skuad Barcelona itu lalai kerana sedang bersiap-siap untuk menjaga pergerakan pemain Liverpool ketika sepakan sudut itu mahu diambil.

Jumlah jaringan tersebut kekal sehinggalah wisel penamat dibunyikan oleh pengadil Cuneyt Cakir. Kemenangan tersebut telah membuatkan Liverpool berjaya melangkah ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) sekali gus berpeluang menjulang trofi yang berprestij itu untuk kali yang keenam dalam sejarah kelab tersebut.

Pengurus Barca, Valverde mengakui skuad kendaliannya gagal untuk menyaingi intensiti Liverpool dan hilang kawalan selepas tuan rumah meledak dua gol pantas pada babak kedua untuk mengikat perlawanan secara agregat.

“Segala-galanya tidak menjadi selepas dua gol pantas itu. Kami tidak berupaya untuk meledak gol dan mereka benar-benar memberikan kami tekanan,” kata Valverde.

“Ia keputusan yang amat buruk buat peminat kami dan juga diri kami sendiri. Ia benar-benar sesuatu yang amat malang, tetapi tahniah kepada Liverpool.

“Mereka bermula dengan amat baik, memperoleh gol awal tetapi reaksi kami selepas itu bagus. Kami berjaya mengawal situasi sedikit demi sedikit pada pertengahan babak pertama. Kami memperoleh peluang untuk menjaringkan gol.

“Kami cuba untuk bermain sedikit bertahan, tetapi perlawanan berakhir untuk kami apabila mereka memperoleh gol keempat. Kami tidak dapat menghasilkan tindak balas.”

“Saya tidak tahu bagaimana ia akan memberi kesan kepada saya, tetapi jurulatih perlu bertanggungjawab,” katanya.

“Ia amat menyakitkan buat kami, terutama untuk peminat, ini kali kedua mereka pulang seperti ini.

“Apabila kamu mengharungi perlawanan seperti ini, kamu akan melalui beberapa hari yang sukar, kami semua dan juga peminat. Kami akan menderita. Itulah hakikatnya,” kata Valverde.

Sumber: Yahoo, Dailymail

Aqmal Ezany

Editor: Azmil

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di