Siakap Keli

Masih Ramai Trauma, Masjid Di Christchurch Dicat Baru, Ditukar Permaidani Dan Jubin, Polis Berkawal Sepanjang Ramadhan

Dua bulan lalu, dunia khususnya umat Islam berduka dengan serangan keganasan yang berlaku di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand hingga mengorbankan 50 orang jemaah dan mencederakan ramai mangsa.

Kejadian terburuk yang pernah terjadi di negara itu meninggalkan kesan luka yang mendalam buat semua. Masih jelas terbayang di mata tragedi berdarah itu menyebabkan ada penduduk sekitar masih trauma untuk mengunjungi masjid bagi melaksanakan ibadat.

Susulan itu, dua orang pegawai polis bersenjata telah ditempatkan untuk mengawasi pintu masjid dan kamera keselamatan turut dipasang di kawasan masjid dalam usaha meningkatkan kawalan keselamatan kepada semua jemaah.

Menerusi laporan stuff, Masjid Linwood, Christchurch juga telah dipasang jubin dan permaidani baru. Malah, kawasan luar masjid turut dicat semula untuk meraikan Ramadhan dan menarik kedatangan ramai.

Menurut Imam Abdul Lateef,  walaupun beberapa orang individu masih lagi trauma kerana serangan tembakan itu, sebagai imam dia masih berharap rumah Allah itu akan dipenuhi orang setiap malam Ramadhan.

”Luka tersebut amat-amat dalam, tetapi kami tidak boleh membiarkan kejahatan mengambil semua kebaikan. Kami tetap bersama malah komuniti di sini bertambah kuat setiap hari.

”Kami ingin memberi ketenangan supaya orang ramai tidak merasa takut lagi terutamanya buat mereka yang trauma dan kehilangan orang yang disayangi.”

Tambah Lateef, Ramadhan mereka masih sama dengan tradisi kebiasaan seperti melakukan ibadat dan berbuka puasa bersama-sama setiap hari. Tetapi beliau mengharapkan Ramadhan kali ini lebih banyak kasih sayang, sokongan dan orang ramai datang mengunjungi masjid.

Sumber : Stuff

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.