Siakap Keli
Foto: Daily Express

NASA Buat Simulasi Asteroid Hentam Bumi, Serpihan Sahaja Boleh Beri Kesan Umpama Letupan Bom Nuklear

National Aeronautics and Space Administration(NASA) baru-baru ini telah mengadakan simulasi bagi mencari jalan untuk melindungi Bumi daripada hentaman asteroid dan bagaimana untuk bertindak balas dengannya.

Simulasi itu melibatkan saintis beberapa pakar dari seluruh dunia bersama dengan barisan saintis daripada NASA sendiri. Malangnya, mereka telah gagal mempertahankan Bumi dalam simulasi tersebut.

Pada permulaan simulasi, saintis-saintis ini diberitahu bahawa kemungkinan untuk asteroid itu melanggar Bumi adalah kecil. Namun, ia berlaku dan mereka perlu bertindak balas kepada bahaya itu.

Saiz asal asteroid yang sedang dalam perjalanan ke Bumi dalam simulasi berkenaan adalah sekitar 140-260 meter dan dijangka akan melanggar planet ini dalam tempoh 8 tahun.

Mereka cuba untuk mengalihkan laluan asteroid tersebut daripada Bumi, namun telah memecahkannya secara tidak sengaja. Ia menyebabkan satu serpihan kecil bersaiz 50-80 meter daripada asteroid itu tetap jatuh ke Bumi .

Saintis hanya menyedari perkara ini 10 hari sebelum ia jatuh ke Bumi dan ia sedang menuju ke bandar New York dengan kelajuan 43,000 batu/jam atau 19km/saat.

Foto: NASA/NBCNews

Impak serpihan adalah lebih teruk berbanding letupan beberapa bom nuklear dan telah memusnahkan New York dalam simulasi itu. Menurut USA Today, satu-satunya cara untuk menyelamatkan orang ramai ialah dengan mengosongkan bandar tersebut sepenuhnya.

Walaupun hentaman ini hanyalah simulasi, pihak NASA berkata kita perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan, termasuklah kemungkinan yang terburuk.

Menurut Pengarah Pusat Kajian Objek Berhampiran Bumi NASA yang juga ketua simulasi ini, Paul Chodas, mereka perlu mencabar diri mereka dan sentiasa bertanya soalan yang sukar.

“Setiap hari kami bertanya, bagaimana jika ia berlaku? Bagaimana jika ini pula berlaku?” katanya.

“Anda tidak akan belajar apa-apa jika tidak mengkaji untuk kemungkinan terburuk setiap hari,” sambungnya lagi.

NASA bekerjasama dengan agensi angkasa lain seluruh dunia sentiasa memerhatikan ruang angkasa Bumi bagi mengesan objek-objek berhampiran seperti asteroid dan komet.

Sumber: NBC News, Business Insider

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi