Siakap Keli

Perkhidmatan Penghantar Makanan Diminta Lebih Sensitif Di Bulan Ramadan

MELAKA, 8 Mei (Bernama) — Pihak yang menjalankan perkhidmatan penghantar makanan diminta lebih sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan dan tidak bersuhabat dengan mereka yang ‘ponteng puasa’.

Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata tindakan mereka yang mempergunakan perhidmatan pengantaran makanan untuk ‘ponteng puasa’ ini tidak sepatutnya berlaku dan perlu dibanteras segera.

“Ia memudahkan orang Islam yang tidak berpuasa mendapat makanan dengan hanya membuat pesanan menerusi panggilan telefon. Oleh kerana bersubahat dengan kaki ponteng puasa, mereka (penghantar makanan) juga perlu diambil tindakan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) menghidu tindakan licik kaki ponteng puasa mendapat makanan menerusi khidmat penghantar makanan pada hari pertama Ramadan, Isnin lepas.

Media sebelum ini melaporkan dua lelaki bermotosikal dipercayai penghantar makanan berjaya meloloskan diri ketika menghantar makanan kepada kaki ponteng puasa di kawasan terpencil sekitar Melaka Tengah.

Seorang penduduk Melaka, Mohd Sanusi Othman, 34, dari Ayer Keroh berkata dalam perkara ini penghantar makanan tidak boleh disalahkan seratus peratus sebaliknya peniaga makanan dan syarikat penghantaran makanan perlu diambil tindakan kerana mereka yang menerima pesanan daripada orang Islam yang tidak berpuasa.

“Penghantar makanan ini hanya menghantar untuk mencari rezeki. Setahu saya syarikat penghantar makanan atau peniaga makanan tahu siapa pelanggang mereka dan boleh menolak pesanan jika tidak ingin bersubahat sama,” katanya.

Bagi Siti Safiah Ab Rahman, 41 dari Bukit Beruang pula berpendapat pihak berkuasa perlu memperluas penguatkuasan undang-undang agar semua mereka yang bersubahat dalam kegiatan ponteng puasa dapat diambil tindakan.

“Kemudahan pesanan makanan secara oline dan penghantaran makanan ke rumah telah memudahkan lagi kaki ponteng puasa melakukan aktiviti terkutuk mereka..tindakan tegas perlu diambil sebagai pengajaran kepada mereka yang terlibat sama dalam aktiviti ini,”katanya.

Sumber: BERNAMA

Nur Shuhada Ahmad

part-time manusia