Siakap Keli
Foto: CTF/Marvel

Apakah Yang Akan Berlaku Sekiranya Separuh Populasi Dunia Benar-Benar Dihapuskan Seperti Dilakukan Thanos? Ini Jawapannya

Ketika ini, filem Avengers: Endgame masih lagi hangat di pawagam. Namun kali ini kita bukan mahu bercerita mengenai masa depan watak-watak dalam filem itu tetapi berbincang mengenai salah satu babak yang berlaku dalam filem tersebut.

Pada siri yang lepas iaitu Avengers: Infinity War, Thanos telah menggunakan kuasa yang ada pada batu-batu Infinity untuk melenyapkan separuh daripada keseluruhan penduduk Bumi.

Bagaimana sekiranya ia benar-benar berlaku? Apa yang akan jadi pada populasi Bumi yang tinggal? Menurut Worldometers, populasi Bumi pada ketika ini adalah 7.7 bilion orang.

Pada kali ini, kita akan bincangkan apa yang akan berlaku pada baki 3.85 bilion manusia yang tinggal jika apa yang terjadi dalam filem Avengers itu benar-benar menjadi realiti.

Jutaan orang akan benar-benar mati

Walaupun petikan jari Thanos itu bertujuan untuk mengurangkan populasi Bumi kepada separuh, hakikatnya lebih ramai daripada itu akan mati.

Airfreshener

Bayangkan berapa banyak yang akan mati jika para juruterbang adalah antara mangsa yang dilenyapkan dalam kejadian itu? Menurut FlightAware, secara purata sebanyak 9,728 pesawat sedang berada di udara dalam satu-satu masa di mana mereka membawa seramai 1,270,406 secara keseluruhan.

Itu baru yang berada dalam pesawat. Bagaimanapula jika pesawat itu terhempas di kawasan orang ramai? Macam mana pula kalau jurupandu-jurupandu kenderaan lain seperti keretapi dan bas juga turut dilenyapkan?

Sudah pasti, jutaan nyawa lain akan turut melayang.

Dunia akan jadi huru-hara, lebih aman dalam masa yang sama

Cuba anda bayangkan, jika jumlah anggota keselamatan seperti polis dan tentera berkurangan, sudah pasti kadar jenayah juga akan meningkat sehinggakan ada daripada mereka yang tidak pernah melakukan jenayah melakukannya kerana rasa ia lebih selamat.

Modern Orators

Ia diburukkan lagi dengan kehilangan mereka yang memegang tugas penting dalam kehidupan manusia hari ini seperti doktor, ahli bomba, pemimpin dan sebagainya.

Bagaimanapun, ia juga boleh menjadi satu perkara baik. Ini kerana apabila jumlah tentera atau pasukan penentang berkurangan, peperangan juga akan mula surut dan dunia menjadi lebih aman.

Mereka yang terlibat dalam peperangan juga berkemungkinan akan mula fokus untuk mencari jalan bagi menjalani kehidupan yang lebih baik selepas itu.

Sumber alam akan bertambah

Pada peringkat awal, kita mungkin akan mengalami masalah untuk mendapatkan bahan makanan memandangkan mereka yang terlibat dalam proses menyediakan makanan seperti di restoren mahupun kilang pemproses makanan kini sudah tiada.

Medical Daily

Namun, selepas semuanya mula reda, kita akan mendapati sumber alam termasuk makanan dan tumbuhan akan bertambah memandangkan jumlah pengguna semakin berkurang.

Dalam matematik mudahnya, bayangkan 100 biji mangga yang perlu dikongsi bersama 100 orang sebelum ini hanya perlu dikongsi bersama 50 orang selepas Thanos melaksanakan impiannya.

Ini juga bermakna, jumlah mereka yang mati kebuluran juga sepatutnya akan berkurangan.

Situasi Bumi akan menjadi lebih baik

Suka atau tidak, kita perlu akui bahawa manusia adalah golongan yang merosakkan alam sekitar Bumi sejak dulu lagi. Kita adalah punca berlaku segala pencemaran di planet ini.

Maka, jika jumlah manusia berkurangan, secara logiknya, kadar pencemaran juga berkurangan.

History

Lebih sedikit orang yang membuang sampah ke dalam sungai, jumlah kenderaan yang mencemarkan udara akan berkurangan dan hutan tidak akan digondol dengan rakus seperti yang terjadi hari ini.

Apa pun, ini hanyalah andaian..

Ya, perkara ini hanya terjadi dalam filem dan segala perkara di atas hanyalah semata-mata.

Akan tetapi, tahukah anda yang 3.8 bilion populasi dunia ini adalah hampir menyamai populasi dunia pada tahun 1972?

Ini bermakna sekiranya separuh daripada penduduk Bumi lenyap pada tahun ini, lebih kurang 50 tahun akan datang, populasi manusia akan kembali seperti asal.

Adakah ia bermakna penduduk Bumi ketika itu akan mengalami perkara yang sama seperti kita hadapi hari ini, atau lebih baik? Siapa tahu.

Hakikatnya, berapa ramai pun penduduk Bumi ini bukanlah masalah utama tetapi bagaimana kita menggunakan sumber yang ada padanya adalah perkara paling penting.

Jadi, marilah kita bersama-sama menjaga segala yang kita miliki hari ini supaya generasi akan datang dapat menikmati hidup yang lebih baik.

Sumber: What If, Science Insider

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi