Siakap Keli

Fakta Yang Tak Diduga, Kenapa Lembu Jantan Marah Bila Nampak Warna Merah? Tak Sangka Ini Jawapannya

Sejak dari kecil lagi, mesti ramai pernah mendengar cakap-cakap jangan pakai warna merah di hadapan lembu jantan, nanti habis kena kejar! Pesanan itu umpama ‘melekat’ dalam kepala sehingga dewasa. Sampaikan bila nampak lembu jantan je, automatik ada yang terus tengok pakaian yang dipakai atau benda di sekeliling. Tak ada warna merah, terus tarik nafas lega!

Tetapi persoalannya, apakah kaitan warna merah dengan lembu jantan? Adakah warna merah benar-benar membuatkan lembu jantan marah atau ianya sekadar mitos semata-mata? Jom ikuti perkongsian ini.

Sukan dipanggil matador

Di Sepanyol terdapat sejenis sukan yang dipanggil matador. Matador merupakan individu yang akan memegang kain berwarna merah yang dipanggil sebagai muleta. Madator akan mengibas-ngibas kain tersebut di hadapan lembu jantan supaya menyerangnya. Di hadapan penonton, madator akan menunjukkan kemahiran bagi mengelakkan serangan lembu tersebut. Mesti ada yang pernah menonton sukan ini di kaca tv bukan?

Gambar sekadar hiasan

Oleh kerana matador sudah biasa menggunakan kain berwarna merah sebagai alat untuk aksinya melawan lembu jantan sejak dari abad ke-18 lagi, maka warna merah sudah sinonim dianggap oleh orang ramai sebagai warna yang membuat lembu marah.

Jika bukan kerana warna merah kenapa lembu tetap menyerang sewaktu kain dikibas?

Lembu jantan menyerang orang dan menjadi berang kerana haiwan ini tidak menggemari tindakan mengibarkan kain di hadapannya. Ia umpama mencabar kesabaran lembu. Disebabkan itu haiwan ini menyerang kain berkenaan bagi menghentikan perbuatan tersebut. Sekiranya matador memegang kain berwarna hijau dan biru sekalipun, lembu jantan tersebut tetap akan menyerangnya. Tak kira lah warna apa sekalipun, jangan sesekali cuba mencabarnya.

Jika apa-apa sahaja warna tidak membawa perbezaan kepada lembu jantan, kenapa kain berwarna merah menjadi pilihan dalam sukan matador ini? Kostum hiasan dan mantel berwarna merah ini dianggap sebagai bahagian penting dalam budaya dan tradisi sukan matador.

Oleh itu, menggunakan warna yang sama  setiap kali sukan ini dilihat sebagai sebahagian daripada pakaian seragam mereka. Selain itu,  tujuannya adalah bagi menutup segala percikan darah daripada lembu jantan atau matador sewaktu beraksi.

Lembu buta warna

Tahukah anda, satu fakta menarik bahawa lembu mempunyai penyakit buta warna menyebabkan haiwan ini tidak dapat melihat warna. Oleh itu, warna sebenarnya tidak memainkan peranan apa pun kerana tidak memberi kesan kepada lembu.

Bagi mebuktikan perkara berkenaan, sekumpulan individu daripada rancangan sains iaitu Mythbuster telah mengadakan eksperimen bagi melihat sekiranya warna merah benar-benar membuatkan lembu jantan naik angin.

Ujian mereka menunjukkan bahawa lembu jantan memberi reaksi yang sama terhadap kain muleta yang berlainan warna iaitu merah, putih dan juga biru.

Setiap kain ini dipegang oleh tiga orang matador dalam keadaan statik. Namun didapati lembu jantan tidak menunjukkan tindakan yang begitu agresif untuk menyerang kain tersebut.

Walaubagaimanapun, apabila setiap kain muleta mula dikibas-kibas, didapati bahawa lembu jantan menjadi marah dan menyerang ketiga-tiga matador ini dengan begitu agresif sekali.

Sumber : wonderopolis

Sha Rossa

Manis macam 'Rosalinda' tapi bukan dia.