Siakap Keli
Gambar: Youtube.com & Merdeka

Nabi Muhammad SAW Tak Pernah Laungkan Azan, Ini Disebalik Hikmah Yang Tersirat

Azan merupakan panggilan bagi umat Islam untuk memberitahu telah masuknya waktu solat fardhu. Azan akan dikumandangkan oleh seorang muazin pada setiap lima waktu solat yang ditetapkan. Merujuk kepada sejarah Islam, timbul persoalan mengenai Nabi Muhammad SAW tidak melaungkan azan.

Melalui persoalan ini, sememangnya para ulama’ berbahas tentang mengapa Nabi SAW tidak melaungkan azan tetapi hanya mengimamkan solat. Perkara ini dapst dilihat dengan jelas melalui Imam al-Nawawi yang membawa maksud;

“Sesungguhnya Nabi SAW seterusnya Khulafa’ al-Rasyidin mengimamkan tetapi tidak melaungkan azan, begitu juga tokoh-tokoh ulama’ yang utama selepas mereka”.

Nabi SAW dan Khulafa’ selepas baginda tidak melaungkan azan adalah kerana mempunyai tugas yang sangat besar. Ini termasuklah menyelesaikan masalah umat Islam yang lebih penting dan tugas-tugas seperti ini tidak mungkin dilakukan oleh orang lain. Namun begitu, perkara ini berbeza dengan menjadi Imam. Mereka sudah pasti akan mengerjakan solat dan menjadi Imam kerana hukum bagi solat itu ialah wajib. Hujah ini dapat diperkuatkan lagi menerusi kata-kata Saidina Umar RA yang membawa maksud;

“Sekiranya aku mampu untuk (melakukan kerja) melaungkan azan dalam masa yang sama (melakukan tugas) khilafah, akan aku azan”

Riwayat al-Baihaqi (1858)

Terdapat pelbagai hikmah disebalik persoalan ini seperti yang dibahaskan oleh Para fuqaha’ iaitu mengapa Nabi SAW tidak melaungkan azan. Imam Izzudin Abdul Salam menyatakan bahawa antara sebab Nabi SAW tidak melaungkan azan kerana Nabi SAW istiqamah dalam melakukan sesuatu urusan. Perkara ini kerana Nabi SAW terlalu sibuk menguruskan hal umat sehingga tiada masa untuk beristiqamah untuk melaungkan azan.

Sebab yang lain Nabi SAW tidak melaungkan azan adalah kerana di dalamnya terdapat kata perintah untuk menunaikan solat iaitu “Marilah menunaikan solat”. Seperti sedia maklum, solat mempunyai waktu yang luas iaitu selagi belum masuk waktu solat yang seterusnya. Namun, jika Nabi SAW  yang melaungkan azan berserta perintah untuk menunaikan solat itu, menjadi satu kesalahan apabila menolak seruan mahupun perintah oleh Nabi SAW. Ini jelas dibuktikan melalui firman Allah SWT yang membawa maksud;

“Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu; sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri ke luar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

(Surah al-Nur: 63)

Hikmah yang seterusnya ialah seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Naisaburi, bahawa terdapat kesaksian Nabi SAW adalah sebahagian daripada azan. Oleh itu, tidak harus untuk Baginda bersaksi ke atas diri Baginda sendiri.

Setiap perkara yang dilakukan dan tidak dilakukan oleh Baginda akan hadir bersama hikmah yang tertentu dan rahsia yang sangat besar. Ini kerana gerak-geri Nabi SAW itu mempunyai kesan kepada umat Baginda.

Sumber: PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa