Siakap Keli

Rupanya Pemegang Rekod Dunia, Pakcik Sitdek Pertaruhkan Sebuah Basikal, Mulakan Kayuhan Ke Mekah

Sebelum ini pengembaraan 3 sahabat dari Kelantan menunggang motorsikal untuk menunaikan umrah telah memakan masa selama 2 bulan melalui 8 buah negara bermula pada November 2018 lalu.

Perjalanan yang mengambil jarak sejauh 14,000 kilometer keseluruhannya menjadikan ia pengalaman yang tak dapat dilupakan buat mereka bertiga.

Terbaru, seorang warga emas berusia 62 tahun mahu melakukan misi yang sama dengan mengayuh untuk ke tanah suci.

Dipanggil Pakcik Sitdek, orang ramai mula berkongsi gambar di media sosial setiap kali berjumpa dengannya.

Dikotak belakang basikalnya tertera perkataan ‘taip Google Sitdek Ahmad Ali’, apa yang kami jumpa rupanya Pakcik Sitdek ialah pemegang rekod dunia menarik beca sejauh 2,175km daripada 1 Oktober hingga 19 November 2000.

Carian namanya turut memaparkan berita dia mengayuh beca sejauh 2,700km sempena meraikan kejayaan pasukan negara yang muncul juara Sukan SEA 2017 di Dataran Gemas Tampin, pada dua tahun lalu.

Rata-rata netizen memuji usaha itu dan mendoakan urusannya dipermudahkan serta diberi kesihatan yang baik sepanjang misi tersebut.

Tak pasti misinya itu bermula sejak bila, namun semalam, 8 Mei, penduduk di sekitar Melaka ternampak kelibatnya dan tak melepaskan peluang untuk merakam gambar bersama Pakcik Sidek.

Sumber: Record Holders Republic, Facebook 

Nur Farra