Siakap Keli
Gambar: Daily Express

Tottenham Hotspur Berjaya Tempah Tiket Ke Madrid, Nama Lucas Moura Dijulang

Lucas Moura telah dinobatkan sebagai hero untuk pasukan Tottenham Hotspur apabila berjaya membantu pasukannya itu mencipta kemenangan yang dramatik pada minit-minit akhir perlawanan menentang Ajax awal pagi tadi.

Kemenangan pasukan dari utara London itu juga turut menandakan penguasaan kelab Inggeris di pentas Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) kembali berada di puncak apabila kedua-dua finalis yang akan bertanding bagi merebut trofi berprestij itu datangnya dari liga Inggeris.

Ketinggalan 1-0 pada perlawanan pertama, peluang Spurs untuk layak ke perlawanan akhir dilihat semakin tipis apabila pasukan Ajax menerusi bintang mudanya Matthijs de Light membuka jaringan seawal minit kelima selepas berjaya menanduk masuk bola yang dihantar oleh Erik Ten Hag menerusi satu sepakan sudut.

Tersentak dengan asakan yang diberi oleh Ajax, Tottenham yang tidak mahu mudah menyerah kalah itu cuba memberi saingan menerusi Son Heung-min dengan satu rembatan yang deras, namun rembatannya itu tidak mengenai sasaran apabila sekaradar melewati tiang gol sahaja.

Pada minit ke 35, Ajax sekali lagi menambah derita Tottenham apabila berjaya menambah gol menerusi Hakim Ziyech yang merembat bola dengan deras melewati kawalan Hugo Lloris selepas berjaya menerima umpanan kemas yang dihantar oleh bekas pemain sayap Southampton Dusan Tadic.

Gol-gol yang dijaringkan pada separuh masa pertama itu telah menyaksikan bahawa Spurs telah ketinggalan tiga berbalas kosong di belakang Ajax sekali gus peluang kelab itu untuk mara ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) dilihat semakin samar.

Tidak lama selepas habisnya waktu rehat, Spurs bermula garang apabila gol pembukaan yang dicari-cari pasukan itu hadir pada minit ke-55 menerusi rembatan leret yang dilakukan oleh Lucas Moura.

Moura telah berjaya mengurangkan jarak perbezaan gol dengan pasukan Ajax apabila sekali lagi berjaya menjaringkan gol hasil daripada bola muntah yang ditepis oleh penjaga gawang Ajax Andre Onana. Gol kedua itu bermakna bahawa Spurs telah berjaya mengikat Ajax dalam kedudukan seri dan hanya memerlukan satu gol sahaja untuk menempah tiket ke perlawanan akhir yang bakal berlangsund di Madrid 1 Jun ini.

Di hujung-hujung minit perlawanan ketika perlawanan bakal berkesudahan dengan keputusan seri, bintang Brazil itu telah berjaya menghasilkan gol kemenangan dan terpenting untuk pasukannya menerusi satu rembatan leret yang deras pada waktu kecederaan untuk membantu melayakkan pasukannya itu ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) untuk kali pertama dalam sejarah kelab tersebut.

Kemenangan itu telah menandakan bahawa penguasaan kelab Inggeris di kejohanan yang berprestij itu berlaku sekali lagi selepas kali terakhir kelab Inggeris menguasai pentas akhir Liga Juara-Juara Eropah (UEFA) itu adalah pada tahun 2008 membabitkan Manchester United dan Chelsea yang menyaksikan Manchester United berjaya menewaskan pasukan The Blues itu menerusi penentuan sepakan penalti yang berlangsung di Moscow.

Sumber: BBC

Aqmal Ezany

I write what is right