Siakap Keli
Foto: CBC

‘True Hero’ Memang Wujud, Remaja Gadaikan Nyawa Berdepan Penyerang Sekolah Ketika Rakan-Rakan Selamatkan Diri

Ada ke adiwira sebenar dalam dunia realiti? Rasanya ada. Kendrick Castillo, pelajar 18 tahun di sebuah sekolah di Colorado, bukanlah seseorang yang mempunyai kuasa seperti yang kita lihat dalam filem, tetapi beliau sanggup mengorbankan nyawanya demi orang lain.

Castillo telah dianggap wira oleh orang ramai selepas beliau tanpa berfikir panjang menerkam dan cuba menumpaskan penyerang bersenjata api yang menyerang sebuah bilik darjah di STEM School Highlands Ranch, Colorado pada Selasa.

Tindakan Castillo bersama dua lagi rakannya itu telah membantu rakan-rakan mereka yang lain untuk lari meninggalkan bilik darjah untuk menyelamatkan diri. Namun, hanya Castillo yang terkorban manakala lapan pelajar lain tercedera.

Pihak polis mengawal kawasan kejadian. Foto: Getty Image/CBC

Lebih menyayat hati, Castillo akan bergraduasi kurang dua minggu dari sekarang. Bapanya, John Castillo berkata kepada Denver Post,”Kendrick Castillo adalah anak yang terbaik di dunia. Dia akan menamatkan pengajiannya 20 Mei ini.”

“Saya harap, dia menyorok dan selamatkan diri ketika kejadian. Tapi itu bukan sifatnya. Dia suka menyelamatkan orang, membantu orang. Sukar untuk saya menerima kenyataan itu”, tambahnya lagi.

Menurut laporan CBS Denver, Castillo ialah seorang yang berminat dalam bidang teknologi komputer dan sepatutnya bertanding dalam acara “Rods and Robots” pada hujung minggu ini.

Majikannya, Rachel Short pula memberitahu bahawa beliau terkilan dengan kematian Castillo, namun tidak terkejut apabila mengetahui dia mati sebagai ‘wira’, kerana itulah sifatnya(suka membantu orang).

Dalam serangan itu, dua orang penyerang telah menyerang dua kelas berasingan dan kedua-duanya telah ditahan pihak polis beberapa minit selepas serangan berlaku.

Sumber: CBC, Denver Post, CBS Denver

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi