Siakap Keli
Gambar: Mirror

Arsenal, Chelsea Mara Ke Final Liga Europa, Lengkapkan Penguasaan Kelab Inggeris Di Pentas Eropah

Arsenal dan Chelsea telah berjaya melayakkan diri ke pentas akhir Liga Europa, sekali gus melengkapkan minggu yang bersejarah buat pasukan dari negara England selepas kesemua perlawanan akhir untuk piala eropah pada musim ini dikuasai oleh kelab dari Liga Perdana Inggeris itu.

Kedua-dua kelab dari London itu dijadualkan akan bertemu antara satu sama lain pada 29 May ini yang bakal berlangsung di Baku, Azerbaijan. Sementara itu, Liverpool pula akan menentang Tottenham bagi perlawanan Liga Juara-Juara Eropah yang bakal berlangsung di Madrid pada 1 Jun ini.

Arsenal berjaya menundukkan Valencia 4-2 dalam perlawanan timbal balik untuk menang dengan jumlah gol keseluruhan yang dijaringkan ialah tujuh berbalas tiga. Sementara Chelsea pula terpaksa berhempas pulas untuk menamatkan kemaraan Eintracht Frankfurt dengan kemenangan yang ditentukan menerusi sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan tersebut terikat 1-1. Pasukan Chelsea berjaya mengatasi pasukan Frankfurt dengan jumlah jaringan penalti yang berjaya dijaringkan sebanyak empat berbalas tiga.

Ianya merupakan satu sejarah yang baru dalam arena bola sepak Eropah apabila kedua-dua perlawanan akhir untuk kejohanan yang disertai pasukan-pasukan terbaik dari benua Eropah itu dimonopoli oleh kelab yang bertapak dari satu negara sahaja. Menariknya ialah, kedua-dua trofi yang berprestij itu bakal dibawa ke England tidak kira siapa pun pemenangnya.

Gambar: Metro

“Tahap kesukaran yang ada di dalam liga kami sangat-sangat tinggi,”kata pengurus yang berasal dari Itali itu Maurizio Sarri. “Jika anda fikir anda boleh senang-senang sahaja menjuarai piala liga kami dengan mudah, anda silap. Kerana di liga kami, kami terpaksa berdepan dengan Liverpool dan Tottenham yang merupakan dua finalis serta pasukan yang terbaik di Eropah buat masa ini. Kami juga terpaksa berdepan dengan Manchester City yang pada pendapat peribadi saya ialah, mereka merupakan pasukan yang terbaik di Eropah, anda sendiri boleh faham mengapa saya cakap tahap kesukaran yang ada pada liga kami sangat-sangat tinggi.”

“Pada ketika ini, Liga Perdana Inggeris merupakan liga yang terbaik di benua Eropah dan juga boleh dikatakan terbaik di dunia. Walau bagaimanapun, bukan senang untuk mana-mana pasukan dari Inggeris untuk tiba di sesuatu negara itu dalam keadaan fizikal yang baik. Ini kerana, di sini kami bermain lebih daripada mana-mana pasukan bola sepak yang terdapat di negara lain.”

Gambar: Daily Mail

Pierre-Emerick Aubameyang yang merupakan penjaring hat-trick untuk pasukan Arsenal awal pagi tadi telah ditujukan soalan berkenaan dengan apakah makna buat pasukannya selepas berjaya melangkah ke perlawanan akhir. Beliau menjawab: “Ianya amat bermakna sekali buat kami. Saya rasa kami telah banyak belajar daripada kesilapan kami pada musim lalu [pasukan Arsenal tersingkir pada peringkat separuh akhir musim lalu]. Kami telah memastikan bahawa tahun ini, kami tidak mengulangi kesilapan yang sama dan inilah hasilnya.

Difahamkan pada sebelum ini pernah sahaja kelab-kelab yang bertapak dari satu negara menentang sesama sendiri di pentas akhir UEFA seperti yang terjadi kali ini . Antaranya ialah, yang terjadi pada tahun 2014 dan 2016 di antara Real Madrid dan Atletico Madrid yang  menyaksikan Real Madrid memenangi kedua-dua perlawanan tersebut sekali gus menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Seterusnya, pada tahun 2013 yang telah didominasi oleh kelab dari Jerman apabila Borussia Dortmund yang dikendalikan oleh Jurgen Klopp ketika itu telah ditewaskan oleh Bayern Munich dalam perlawanan akhir yang dilangsungkan di Wembley.

Selain daripada itu, kelab Inggeris juga tidak ketinggalan dalam menempa sejarah juga apabila Manchester United dan Chelsea telah bertemu di pentas akhir piala UEFA itu pada tahun 2008 dimana United telah berjaya memenangi perlawanan tersebut.

Kelab dari Itali juga pernah menggerunkan pasukan-pasukan dari Eropah apabila kebanyakan pemain-pemain berstatus bintang banyak bermain di liga itu. Pada 2003, pentas akhir UEFA telah didominasi oleh kelab dari negara itu apabila AC Milan dan Juventus bertembung antara satu sama lain di pentas akhir liga UEFA itu.

Walaupun terdapat banyak rekod membabitkan pasukan-pasukan yang datangnya dari negara yang sama, namun ianya julung-julung kali berlaku untuk edisi liga eropah kali ini apabila kedua-dua perlawanan akhir dikuasai oleh pasukan yang berasal dari negara yang sama.

Sumber: The Guardian

Aqmal Ezany

I write what is right