Siakap Keli
Foto: IMEU

Keadaan Meruncing, Gaza Alami Masalah Kewangan Teruk Dan Jutaan Penduduknya Diambang Kebuluran

Walaupun tiada lagi serangan atau pertempuran yang berlaku sejak gencatan senjata dipersetujui beberapa hari lalu, warga Gaza masih belum boleh menarik nafas lega.

Ini kerana Persatuaan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjangkakan sejuta penduduk di sana berkemungkinan akan mengalami kebuluran tidak lama lagi berikutan”bencana kemanusiaan” yang diramal akan dihadapi dalam masa terdekat.

Menurut pegawai dari agensi pelarian Palestin PBB (UNRWA), bajet yang dimiliki oleh badan itu dikatakan bakal habis dalam tempoh sebulan dan mereka kini amat memerlukan dana tambahan.

Lebih menyedihkan, hampir 2,000 penduduk Gaza yang cedera ditembak tentera Israel berkemungkinan akan kehilangan anggota badan berikutan krisis dana yang berlaku.

Foto: IMEU

Secara keseluruhannya, mereka memerlukan sejumlah $1.2 bilion(~RM5 bilion) setahun bagi menanggung perbelanjaan sekolah, perubatan dan program makan serta sokongan kewangan bagi 5 juta pelarian Palestin di Gaza, Tebing Barat, Syria, Lubnan dan Jordan.

Pada musim panas yang lalu, US yang merupakan menyalur dana terbesar agensi itu telah menghentikan semua bantuan kewangan sekaligus menjadikan mereka mempunyai defisit bajet sehingga $440 juta(~RM 1.83 bilion).

Keadaan itu memaksa mereka untuk merayu bantuan kewangan daripada negara-negara lain dari benua Eropah serta negara Teluk. PBB memerlukan anggaran dana tambahan sekitar $20 juta(~RM83 juta) bagi menyelamatkan penduduk Gaza.

Elizabeth Campbell, Pengarah di Pejabat UNRWA New York berkata kepada The Independent, kemungkinan terburuk yang boleh dihadapi mereka ialah mereka tidak lagi mampu menyediakan makanan kepada separuh dari penduduk Gaza.

“Kami mungkin perlu menutup sekolah-sekolah dan penduduk tidak akan mempunyai akses kepada sistem penjagaan kesihatan kami. Kami terpaksa kurangkan pekerjaan,” tambahnya lagi.

Selepas pihak berkuasa Palestin(PA), UNRWA adalah majikan terbesar di Gaza. Campbell juga mengingatkan bahawa keadaan Gaza yang tidak stabil juga boleh mendatang ancaman kepada Israel.

Beliau mengingatkan bahawa keadaan yang stabil dan tenang di sana adalah penting bagi memastikan keadaan kekal aman.

Sumber: The Independent

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi