Siakap Keli

“Sepatutnya Tiada Tempat Kedua,” Alan Shearer Rasa City Dan Liverpool Harus Jadi Juara Bersama

Peminat bola sepak dunia pasti sudah tidak sabar untuk melihat bagaimana kesudahan Liga Perdana Inggeris dimana persaingan antara Manchester City dan Liverpool dipisahkan hanya dengan 1 mata. Ramai meramalkan City tiada masalah untuk bergelar juara Ahad ini selepas dijadualkan bertemu Brighton Hove & Albion di tempat lawan.

Manakala, Liverpool pula dijangka menghadapi kesukaran menentang Wolverhampton Wanderers yang sedang berada di dalam prestasi yang luar biasa ketika ini. Liverpool juga yang masih segar dengan kemenangan 4-0 ke atas Barcelona di pentas Liga Juara-Juara Eropah selepas bangkit dari ketinggalan 3 gol di Nou Camp.

Lagenda England dan juga Newcastle United, Alan Shearer dalam satu kenyataan menyatakan Liverpool dan City perlu ditabalkan juara bersama selepas apa yang ditampilkan oleh kedua-dua pasukan sangat luar biasa.

Menurut Alan Shearer, baik City mahupun Liverpool, kedua-dua pasukan itu selayaknya menjadi juara bersama selepas melihat persaingan sepanjang musim ini.

“Bagi saya, perebutan kejuaraan musim ini sama sekali berbeza dengan apa yang pernah saya lalui dahulu. City dan Liverpool, kedua-dua kelab itu bersaing tanpa henti antara satu sama lain dan pengakhirannya hanya akan ditentukan pada hujung minggu ini.


“Jika City menang, ini bermakna Liverpool akan sekali lagi kehilangan gelaran juara meskipun sudah menekan City sampai ke tahap ini.

“Adalah sayang sekali untuk melihat salah satu daripada dua pasukan ini berada di tangga kedua. Bagi saya tiada satu pun antara City dan Liverpool layak mendapat hasil seperti itu.

“Apa yang telah dilakukan City dan Liverpool sepanjang musim ini amat luar biasa. Kedua-dua pasukan menjadikan musim ini sungguh istimewa.” katanya.

Ahad ini (12 Mei 2019) semua perlawanan Liga Perdana Inggeris akan dijalankan secara serentak pada jam 10 malam (waktu Malaysia) bagi menentukan siapa yang layak bakal menjadi juara untuk musim 2018/19.

Secara matematiknya, Liverpool perlu mencatatkan kemenangan ke atas Wolverhampton dan mengharapkan perlawanan antara Brighton dan City berkesudahan sekurang-kurangnya seri untuk diangkat sebagai juara musim ini.

Manakala City juga wajib menang ke atas Brighton dan jika itu berlaku, City tidak perlu mengharapkan apa-apa dari perlawanan Liverpool dan Wolves kerana hanya 3 mata sudah cukup untuk anak buah Pep Guardiola diangkat sebagai juara.

Sumber: BBC

Azmil

The best preparation for tomorrow is doing your best today. :)