Siakap Keli
Foto: Liverpool FC/Manchester City

Belum Rezeki Liverpool Lagi, City Julang EPL Buat Kali Kedua Berturut-Turut

Setelah lebih kurang 10 bulan bersaing, sebentar berakhirnya perlawanan terakhir bagi liga bola sepak paling kompetitif di dunia, Liga Perdana Inggeris(EPL) bagi musim 2018/2019.

Tumpuan peminat pastinya kepada dua perlawanan yang melibatkan dua pesaing utama bagi kejuaraan musim ini. Manchester City bertemu Brighton di tempat lawan serta Liverpool menjadi tuan rumah kepada Wolverhampton.

Pada sepak mula, City mendahului Liverpool dengan kelebihan 1 mata dan mereka hanya perlu menang untuk memastikan kejuaraan milik mereka. Manakala bagi Liverpool pula, mereka perlu menang sambil mengharapkan City keciciran mata untuk menjulang piala buat pertama kali selepas 29 tahun.

Brighton & Hove Albion vs Man. City

Brighton memulakan perlawanan di hadapan penonton mereka namun City nampak benar-benar bersungguh-sungguh untuk menang apabila menguasai permainan daripada awal.

Akan tetapi, pada minit ke-27, Glenn Murray menceriakan penonton mereka(dan Liverpool) apabila menanduk masuk sepakan penjuru untuk Brighton mendahului 1-0.

Ketika ini, Liverpool sudah pun mendahului Wolves 1-0 selepas Sadio Mane menewaskan penjaga gol Wolves, Rui Patricio pada minit ke-17.

Bagaimanapun, ia tidak bertahan lama apabila Sergio Aguero menyamakan kedudukan hasil lorongan cantik David Silva, dua minit selepas itu.

City terus menekan benteng Brighton untuk mencari gol pendahuluan dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-38 dengan jaringan Aymeric Laporte yang dibantu oleh sepakan sudut Riyad Mahrez.

Bersambung selepas rehat, City masih lagi mengawal perlawanan namun Brighton beberapa kali menguji Ederson di gawang namun penjaga gol Brazil itu kekal kebal.

Pada minit ke-63, bintang Algeria, Riyad Mahrez menambah derita Brighton dan Liverpool apabila menjaringkan gol cantik melalui rembatan dari luar kotak penalti menumpaskan Patricio. Sementara itu Liverpool masih kekal mendahului 1-0.

Belum puas dengan itu, City masih mengasak kubu Brighton dan Ilkay Gundogan menjaringkan satu lagi gol menakjubkan pada minit ke-72 sekaligus memperkukuhkan cengkaman mereka untuk memenangi liga pada malam ini.

Kapten Brigton, Bruno dikeluarkan pada minit ke-84 untuk menerima penghormatan daripada penyokong untuk kali terakhir selepas mengumumkan akan bersara selepas perlawanan ini.

Tiada apa lagi yang mampu dilakukan oleh Brighton selepas itu dan perlawanan berkesudahan dengan kemenangan 4-1 untuk pasukan kendalian Pep Guardiola.

Liverpool vs Wolverhampton Wanderers

Selepas berjaya menewaskan Barcelona 4-0 untuk layak ke final Liga Juara-Juara Eropah, mental dan keyakinan pemain Liverpool sepatutnya berada di tahap terbaik pada perlawanan ini.

Walaubagaimanapun, ia tidak ditunjukkan pada peringkat awal permainan apabila kedua-dua pasukan bermain dengan berhati-hati.

Sesekali mereka berbalas serangan dan Liverpool akhirnya membuka jaringan dengan menolak masuk hantaran silang daripada Trent Alexander Arnold.

Wolves mempunyai peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan namun tendangan padu Matt Doherty di lewat separuh masa pertama hanya singgah di palang gol.

Pada 5 minit pertama babak kedua, Wolves telah menerima dua kad kuning masing-masing kepada Ryan Bennet pada minit ke-49 dan Diogo Jota seminit kemudian.

Pasukan pelawat lebih banyak menyerang dan Liverpool nampak kurang bermaya seolah-olah tidak bersemangat selepas City menjaringkan gol ketiga di Brighton.

Nampaknya saya silap, Liverpool secara tiba-tiba menggandakan pendahuluan pada minit ke-81 sekali lagi menerusi jaringan Sadio Mane.

Dua minit masa tambahan diberikan dan Liverpool masih mengasak disaat-saat akhir walaupun peluang mereka menjulan kejuaraan sudah tertutup. Tetapi tiada apa yang dapat dihasilkan sehingga wisel penamat. Tamat perlawanan, Liverpool 2-0 Wolverhampton.

Piala EPL Kekal Di Etihad 

Berakhirnya kedua-dua perlawanan, Manchester City berjaya mengekalkan kejuaraan buat tahun kedua berturut-turut manakala bagi Liverpool, penantian mereka kini masuk pada dekad yang ketiga.

Walaupun gagal menjulang trofi, pasukan Liverpool masih menerima sorakan dan penghargaan peminat di penghujung perlawanan atas musim yang mengagumkan pada tahun ini.

Bagi City pula, sambutan mereka sedikit terbantut kerana bermain di tempat lawan pada malam ini. Apa-apa pun, tahniah buat Manchester City dan Liverpool, anda boleh cuba lagi tahun hadapan.

Amir Zakwan

Dulu sembang teknologi terkini, sekarang borak berita sensasi

Editor: Amir Zakwan

Kami Juga Bersosial

Sekiranya anda ingin mendapat berita dari Siakap Keli pada 'News Feed' media sosial, anda boleh ikuti kami di